Powered By Blogger

Tuesday 19 November 2013

KEMBARA MENCARI TUHAN



Sabtu, 16 November 2013, satu tarikh yang paling saya ingati tentunya. Hasrat untuk bergabung dengan salah satu kumpulan yang peduli gelandangan terkabul jua. Saya bersama 3 orang sahabat yang lain pergi meninggalkan kampus seawal pukul 6.30 pagi, betul-betul selepas solat Subuh. Bersama satu plastik besar berisi pakaian terpakai yang dikumpulkan daripada sumbangan para sahabat di kampus.

Program pembahagian barang-barang tersebut kepada para gelandangan akan bermula 8.30 malam di area Sogo, K.L. Jadi kami menghabiskan waktu tengah hari untuk berburu buku di sekitar masjid India dan  Kinokuniya KLCC. Saya membeli 3 buah buku, “Bicara ini Demi Ilahi” karya TG Nik Abdul Aziz. Buku himpunan Haiku (sastera khas Jepun) “Sukma Basho Dalam Haiku” karya sesterawan Jepun yang terkenal, Matsuo Basho. Dan buku terakhir, tentang teknik penulisan novel berdasarkan Surah Yusuf, yang ditulis oleh Ainon Mohd.

Setelah puas seharian berjalan meratai kota, penat menyerang tubuh. Kami bergerak menuju Sogo selepas solat Maghrib di Masjid Jamek. Kemudian menunaikan solat Isyak di surau aras B1 Sogo. Hujan di luar kadang lebat kadang berhenti. Sejak petang tadi mengguyur jalanan K.L. Harapnya setelah ini awan cumulusnimbus ini mahu berkompromi dengan kami.

“Tahan dulu air matamu, agar kami tidak kesusahan dalam menjalankan tugas ini.” Itulah ucapku pada awan yang menyelimuti angkasa di atas sana. Di luar kompelks beli-belah Sogo masih ramai orang yang lalu lalang. Hampir satu jam kami berdiri menunggu kumpulan yang akan kami sertai datang.

GOLONGAN TERPINGGIR

Sebenarnya saya tak berkesempatan untuk terjun dan terlibat langsung pembahagian barang-barang tersebut kepada para gelandangan. Memang, satu kesempatan yang hilang di depan mata. Sebab guru dan juga mentor saya menelefon dan ingin bertemu di Sogo ketika itu. Jadi saya memilih untuk menghormati beliau. Lagipun sudah beberapa bulan kami tidak bertemu dengannya. Mungkin di masa hadapan ada kesempatan lagi untuk menimba pengalaman dari para gelandangan tersebut.

Saya memisahkan diri dari kumpulan tersebut pada pukul 9.30 malam. Mereka bergerak menuju ke jalan Chow Kit untuk membahagikan baju-baju dan sumbangan yang ada kepada para gelandangan. Sementara saya pergi ke Ampang Jaya bersama guruku. Walau tiada bersama mereka, namun saya berjaya mendapatkan catatan ini dari Facebook seorang peserta pada malam itu. Saya edit sedikit nota di bawah tanpa merosakkan nilai asal.

Dari saudara Laksamana Setia, yang menyalin kata dari seorang gelandangan tua :

Rakyat Malaysia sebenarnya tidak serius untuk cuba menyelesaikan isu gelandangan. Mereka lebih suka membuat program yang berbentuk ceremonial/majlis. Program makan-makan dan bersuka ria.

Sedangkan lebih wajar jika diadakan kelas-kelas atau bengkel untuk melatih mereka menjadi seorang pekerja. Gelandangan ini, mempunyai masalah low self-esteem, sebab itu mereka tak mampu untuk berdepan dengan masyarakat. Mereka takut dan malu. Projek mesti di lakukan secara kelompok dan bukan sendirian. Mereka tak mampu bekerja kerana tiada keyakinan diri.

Kata pakcik itu, mereka tidak perlukan kaunseling kerana mereka lebih kenal dengan dunia. Mereka bergelumang dengan macam-macam permasalahan sosial masyarakat.

Gelandangan ada beberapa jenis :

1) Yang bekerja tapi tak ada tempat tinggal
2) Yang tidak bekerja dan datang dari keluarga bermasalah
3) Yang bermasalah mental
4) dan lain2

Pakcik ini pernah persoalkan kepada seorang profesor universiti, "Adakah setiap kajian yang kamu lakukan ini mampu melahirkan mahasiswa-mahasiswa yang menyelesaikan masalah? Sekarang bukan masa untuk ambil tahu, tapi masa untuk bertindak..."

Ada soalan yang diajukan kepada dia :
"Apakah benar mitos mengatakan, gelandangan-gelandangan ini bahagia kerana mereka keluar dari sistem, mereka bebas lakukan apa sahaja?"

Katanya, "Manusia mana yang mahu hidup susah? Tak ada orang nak hidup susah, kami cemburu dengan orang yang mempunyai harta benda, keluarga yang bahagia. Tapi, kami tidak ada kekuatan."

Dia kata dia tak ada sijil, belajar setakat darjah 5 sahaja. Tapi dia memang knowledgeable person. Aku terkejut apabila dia kritik sistem ekonomi sosialis dengan kapitalis dengan tepat.

Setelah itu dia cakap bab Islam. Katanya, “Sepatutnya orang Islam ambil  peduli. Yang kaya membantu orang miskin. Tapi sekarang, kita semua lebih pentingkan institusi untuk bekerja untuk kita. Sehingga kita hilang nilai untuk bersikap peduli. Bila habis bayar zakat atau sedekah pada institusi bertanggungjawab, kononnya macam kita dah habis tanggungjawab, sedangkan nilai kemanusiaan tu hilang tanpa sedar.”

Itu belum dia kritik institusi masjid lagi, dia kata masjid dah hilang fungsi merakyat. Masjid dah jadi ‘tempat suci’ yang orang tak boleh sentuh. Ibaratnya, gelandangan nak tengok masjid pun tak boleh, mesti kena halau, dikatakan mencemarkan masjid. Berbeza dengan sikap kristian. Gereja buka 24jam sehari.

SEMBANG-SEMBANG KOTA RAYA

Pukul 1 pagi saya baru bergabung kembali dengan kawan-kawan. Sebaik sahaja selesai berjumpa dan membahagi-bahagikan barangan kepada para gelandangan, mereka pergi menuju kedai makan terdekat. Jalanan di area Kota Raya masih ricuh. Malam minggu, masih ramai orang yang meratai jalanan Kuala Lumpur walau sudah pagi buta seperti ini. Kawan-kawanku sudah berada di kedai makan yang bertentangan dengan McD. Saya  yang baru datang,  turut bergabung dalam perbualan mereka. Dan disambut dengan begitu mesra (saya pelik sebab mereka ini sebenarnya amat benci golongan agamawan, apatah lagi status kami sebagai penghafal al Quran).

Di hujung meja sana Nichole namanya. Lelaki yang menyokong LGBT. Dan lelaki di sebelahku namanya Awie, berumur 19 tahun. Banyak kisah menarik yang kami dapat darinya. Dia menjadi ateis (tidak ber-Tuhan) sejak umur 17 tahun lagi. Dan di sebelah kiriku ketiga-tiganya sahabatku, Azral, Kamal dan Ismail. Kami berempat sengaja gabung untuk mengenal kehidupan sebenar di kota metropolitan ini. Di meja ini, berkumpul pelbagai aliran pemikiran. Islamisme, Liberalisme, Sosialisme, LGBT dan ateisme.

Satu lontaran soalan bermula dari mulut Awie. Dia bertanya, “Apa fungsi agama diturunkan?” Satu soalan yang tak pernah terlintas jawabannya di fikiranku.  

Aku terdiam. Kemudian ada satu suara kedengaran, “Agama ini berguna untuk mencari duit, meninggikan pangkat di mata manusia,” jawabnya. Jawaban yang boleh diterima juga, berdasarkan situasi sekarang ini. Ramai orang yang menggunakan nama agama bagi mengaut keuntungan duniawi. Jual produk-produk yang dilabel Islam, demi kepuasan nafsu sendiri.

Azral menjawab bahawa agama diturunkan untuk mengatur hidup manusia, agama sebagai sistem kehidupan. Mengajarkan mana yang baik dan mana yang buruk. Kemudia ada individu yang menyanggah jawaban ini. “Kalau orang sudah tahu mana yang baik dan mana yang buruk, jadi dia sudah tak perlu beragamalah?” timbul pula perbahasan tentang morality. Di tengah kesejukan pagi perbincangan kami menimbulkan aura panas yang menggairahkan. Masing-masing bebas memberikan pandangan. Dan, satu yang paling saya suka, semua saling menghormati pandangan orang lain. Meskipun jelas-jelas pandangan kami saling bertentangan.

Banyak perkara yang dibahas pagi itu. Mulai dari keagamaan, pluralisme, LGBT, serta hak asasi manusia. Kemudian Kamal pula cuba melontarkan idea. Dia jelaskan bahawa alam ini telah teratur, dan bergerak mengikut arahan Allah. Di dalam keteraturan itulah terdapat kebergantungan antara satu sama lain. Dan perubahan salah satu komponen alam juga menjadi sebab kepada perubahan yang lain. Dia cuba kaitkan hal ini dengan konsep morality. Bahawa moral seseorang dapat mempengaruhi moral orang lain di sekelilingnya. Ini yang aku faham (kalau salah tolong betulkan). Kamal ini memang suka tentang falsafah. Sampai-sampai ada yang menggelar pemikirannya sebagai aliran Kamalisme. Kalau mau tahu, boleh tanya dia terus. Jika hanya berprasangka, itu hanya akan timbulkan persepsi negatif sahaja.

Perbualan terus berlanjut sampai jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Mataku sudah terlalu berat. Suara-suara mereka hanya terdengar sayup seperti angin. Kepalaku juga mulai mengeluarkan bunyi ‘kerkk’, macam mahu retak sahaja. Mungkin terlalu letih. Kami menutup ‘majlis’ itu dengan rasa yang begitu dahsyat. Entah, saya pun sukar menggambarkannya. Seakan diri ini bayi yang baru dilahirkan, baru mengenal dunia. Betapa banyak perkara lagi yang belum kami ketahui. Ternyata sistem kehidupan ini begitu kompleks. Bukan sekedar baik lawan buruk. Bukan sekedar hitam lawan putih. Bukan sekedar susah dan bahagia juga bukan sekedar two faces on the same coin.

ISLAM ≠ MUSLIM ?

Awie menemani kami berempat untuk mencari hotel di sekitar Pasar Seni. Kami berjalan kaki dari Kota Raya ke Pasar Seni lebih kurang dalam 15 minit. Pukul 4 pagi baru sampai di Hotel Starlight berhampiran stesen LRT Pasar Seni. Harga satu bilik RM75 untuk 5 orang. Awie yang belanja kami untuk tidur di hotel malam itu.

Sebelum tidur, kami sempat berbual dengan Awie. Timbul rasa ingin tahu apa yang menyebabkan dia menjadi ateis. Dia cakap dia mulai menjadi ateis sejak berumur 17 tahun. Sebab apa? Sebab keluarganya suka memberikan jawaban yang kurang masuk akal apabila dia bertanya sesuatu tentang agama. Dia juga pernah menjadi golongan homeless selama satu tahun, lebih kurang. Selepas dia keluar dari agama Islam.

Tapi ada sesuatu yang mengejutkan dari tutur katanya. “Apabila seseorang sudah letih mencari tuhan, maka pasti dia akan kembali kepada Tuhan Yang Sebenar (Allah SWT),” begitu responnya. Dia bercerita, sejak berumur 17 tahun dia aktif membaca dan mengkaji semua kitab-kitab suci agama yang wujud di Malaysia ini. Dia ingin mencari kebenaran sejati. Namun dia belum menemukan jawaban. Dia belum menemukan Tuhan yang dia cari.


Kami sempat merespon tentang apa yang dia rasakan, bahawa umat Islam kini sudah lari dari landasan yang sebenar. Ya, kebenaran Islam adalah kebenaran yang hakiki. Islam tak pernah salah. Cahaya Islam akan terus bersinar sampai hari akhir nanti. Tetapi bagaimana dengan umat Islam? Bagaimana perangai orang-orang Islam? Orang-orang yang semestinya mencerminkan nilai-nilai Islam? Ini yang patut kita pertanyakan.

Umat Islam adalah cerminan kepada agama Islam itu sendiri. Orang lain tidak akan nampak nilai-nilai kebenaran Islam yang sebenar tanpa melihat (bercermin / merefleksi ) kepada orang Islam. Kecuali jika non-muslim tersebut mahu mengkaji kebenaran Islam dari sudut yang lain, sains misalnya. Intinya di sini, umat Islam sendiri harus menterjemahkan nilai-nilai keislaman itu dalam kehidupan sehari-hari. Bukan sekedar dalam hal ibadah khusus, bahkan dalam bersosialisasi dengan masyarakat dan makhluk-makhluk yang lain.

Kita masih lagi suka memfitnah sana sini. Masih lagi suka membenci orang ini orang itu. Masih lagi mengumpul harta untuk kepentingan perut sendiri. Dan kita masih lagi kurang berakhlak kepada manusia-manusia lain di muka bumi ini. Padahal sejarah telah mencatat, ramai golongan kafir Quraisy memeluk Islam kerana kagum dengan akhlak baginda Muhammad SAW. Akhlak Rasulullah SAW umpama al Quran, begitulah kata Sayyidaina Aisyah R.A. Sedangkan kita? Jangan sampai disebabkan perangai kita orang lain semakin menjauh dari Islam. Mungkin itu juga menjadi antara sebab mengapa Awie (dan mereka yang belum mengenal Allah) terhijab dari kebenaran yang hakiki.

Sama-sama kita doakan dia bisa bertemu kembali dengan kebenaran hakiki yang dicari. Dan kita sebagai Muslim, mesti berusaha mencari kebenaran itu agar semakin kukuh iman di hati. Biar Muslim kita bukan sekedar warisan sosial (Muslim disebabkan keturunan), bukan sekedar Muslim pada nama, juga bukan sekedar Muslim pada kad pengenalan. Juga, sama-sama kita menjadi cermin bagi agama Islam. Kegemilangan Islam terjadi apabila manusia mula sukar untuk membedakan antara kebenaran Islam dengan kebenaran yang ada pada jiwa-jiwa umat Islam.



#21.40-19.11.2013-B110#

Monday 17 June 2013

Sekilas tentang Pluralisme



Isu pluralisme mula mendapat perhatian sejak Majlis Ulama Indonesia (MUI), pada 29 Julai 2005, menerusi Musyawarah Nasional VII organisasi berkenaan, mengeluarkan fatwa menghukum haram pluralisme, liberalisme dan sekularisme.

Sejak fatwa itu ditetapkan, tiada hari tanpa cacian dan hujatan terhadap MUI. Antaranya daripada coordinator Jaringan Islam Liberal (JIL), Ulil Abshar Abdalla, menyatakan, bahawa fatwa MUI itu konyol dan bodoh. Setelah ucapan Ulil itu mendapat kecaman keras daripada pelbagai pihak, Ulil akhirnya meminta maaf.

Atas dasar itulah pihak pendokong pluralisme cuba memberi penjelasan kepada khalayak umum tentang apakah pluralisme itu? Manakala pihak yang 'berseberangan' ideologi pula, mereka juga berusaha sekuat tenaga untuk mengimbangi serangan-serangan pluralisme tersebut, dengan mendedahkan bahaya-bahaya pluralisme. Sama ada melalui dialog terbuka, antara JIL dengan golongan Nahdhatul Ulama sebagai contohnya (pada tahun 2009 di Surabaya). Ataupun melalui penerbitan bahan-bahan bacaan. Dan di antaranya yang dapat ditemui di Maktabah Darul Quran ialah :

Ø  Islam dan Pluralisme (Middle-Eastern Graduates Centre, 2006)
Secara kasarnya buku ini memang mendokong pluralisme. Ia menghimpunkan artikel-artikel berkenaan penjelasan tentang pluralisme dari kacamata pelbagai pihak, antaranya Nurcholis Madjid, Asghar Ali Engineer, Suratno, Reza Shah-Kazemi, John Hick dan Hans Kung.

Ø  Islam dan Pluralisme, Akhlak al Quran Menyikapi Perbedaan (Serambi Ilmu Semesta, 2006)
      Apakah hanya Islam agama yang diterima oleh Allah? Lantas, mengapa Allah menciptakan agama yang pelbagai? Apa tujuan penciptaan pelbagai agama itu? Buku ini cuba mencari jawabannya dalam al Quran. Penulis mendedahkan makna sejati Islam dan agama, mengungkap semangat firman Allah dalam memandang agama lain serta merumuskan bagaimana kita beriman secara autentik di tengah plurality kebenaran itu.
 
Ø  Islam Liberal, Pluralisme Agama dan Diabolisme Intelektual (Institute for the Study of Islamic Thought & Civilization, 2005)
Buku susunan Adian Husaini ini terdiri daripada 3 bahagian. Dan antara tajuk-tajuk yang menarik ialah : Liberalisasi : Tantangan Bagi Peradaban Islam, Tokoh Katolik Franz Magnis pun Menolak Pluralisme Agama, al Attas dan al Qaradhawi Mengenai Islam dan Sekularisme : Jawaban Tegas Dua Ilmuwan Islam Kontemporer dan Pluralisme, Klaim Kebenaran yang Berbahaya.

Membaca penjelasan dan keterangan tentang pluralisme dari sudut pandang kedua-dua belah pihak (yang pro & kontra) amatlah penting. Ini demi memberikan gambaran yang lebih jelas dan adil tentang isu tersebut. “Sesungguhnya telah jelas (perbedaan) antara yang benar dan yang salah” (QS 2:256).

Jika ada yang berkata bahawa membaca buku-buku seperti ini bisa mencelarukan pemikiran, bisa menggoyahkan iman, maka akan timbul beberapa persoalan lain. Antaranya, mengapa takut pemikiran ataupun iman kita akan goyah sekiranya kita berada di pihak yang (kita yakini) benar? Bukankah telah nyata antara yang hak dan yang batil? Kalau kita (agamawan, Huffaazul Quran) sentiasa lari daripada mengambil tahu isu-isu sebegini maka kepada siapa masyarakat di luar sana akan mencari rujukan? Dakwah kita marcapada ini sangatlah kompleks, bukan sekedar isu thiqah, ikhtilat dan baitul muslim saja. Kita mesti sentiasa meng-up grade ‘senjata’ kita sama ada yang internal mahupun external bagi menghadapi cabaran ini.
  
Dan sebagai jalan tengah dalam mendepani isu ini, kami mengutip ucapan KH Abdullah Syamsul Arifin (wakil Nahdhatul Ulama) dalam dialog terbuka antara JIL dan NU : “Bagi kami Islam adalah satu-satunya agama yang benar, tetapi keyakinan kami (dalam meyakini Islam adalah satu-satunya agama yang benar) tidak menutup kami untuk bertoleransi, untuk bergaul secara baik, untuk berkomunikasi dalam masalah-masalah keduniaan dan  untuk menghargai pendapat orang lain (orang bukan Islam) yang mereka juga punya keyakinan bahawa agama mereka adalah agama yang paling benar menurut mereka. Tetapi kita tidak sampai kepada had membenarkan keyakinan mereka.”