Powered By Blogger

Tuesday 24 January 2012

Program Jalinan Ukhuwah, Satu Anjakan Paradigma


Tarikh 28 – 29 Safar 1433 H bersamaan 22 – 23 Januari 2012 merupakan hari yang penuh bersejarah bagi para warga SMU(A) Al Ulum Padang Embun dan para bekas pelajar  (alumni) khususnya. Apa tidaknya, bekas kepimpinan pelajar Al Ulum berjaya mencatat sejarah yang tersendiri. Mereka telah sukses mengadakan program reunion yang julung-julung kalinya dianjurkan di sekolah ini secara rasmi.

Program Jalinan Ukhuwah (PJU) ini menghimpunkan bekas pelajar lelaki lepasan PMR tahun 2007 – 2011. Manakala untuk bekas pelajar perempuan insyaallah ia akan dilaksanakan pada tarikh 3 Februari nanti jika tidak ada aral melintang, sesuai dengan perancangan yang telah dibincangkan.

Program Jalinan Ukhuwah ini merupakan program perintis bagi mengadakan program-program seumpamanya yang lebih besar lagi. Ini semua berkat inisiatif Ustazah Nortamziah Pauzi juga selaku guru penasihat Badan Dakwah dan Kepimpinan Islam (BALKAN) Al Ulum bagi menyambung kembali tali ukhuwah agar tidak semakin terlerai. Oleh itu, perwakilan bekas kepimpinan pelajar telah mengadakan perbincangan ringan untuk menjayakan matlamat ini.

Salah satu matlamat mereka ialah untuk menubuhkan persatuan alumni Al Ulum. Organisasi tersebut akan bergerak dalam menjaga kesinambungan proses pentarbiyahan dan kepemimpinan pelajar Al Ulum. Sama ada melalui aktiviti formal mahupun non-formal. Atas dasar itulah program reunion dalam skala sederhana perlu dilaksanakan. Matlamatnya jelas, ia berfungsi sebagai batu loncatan untuk meraih matlamat utama, penubuhan persatuan alumni Al Ulum.

PJU ini boleh dikatakan 80% berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mencapai sebahagian matlamatnya. Tentunya, penilaian ini turut melihat pelbagai aspek utama. Antaranya ialah dari segi kos perbelanjaan. 85% dari keseluruhan wang masuk (RM430.35) ialah dikutip daripada yuran peserta seramai 37 orang. Manakala bakinya ialah daripada sponsor guru dan Pengetua. Seterusnya pada akhir program didapati bahawa setelah wang masuk ditolak dengan perbelanjaan ternyata masih berbaki RM19.51 (5.3%).

Manakala dari segi antusiasme peserta, ternyata amat membanggakan. Jangkaan awal kehadiran maksimum peserta ialah seramai 40 orang dan nyatanya yang hadir menyertai PJU ini ialah seramai 37 orang (92.5%). Majoritinya merupakan alumni lepasan PMR tahun 2009, 2010 dan 2011. Alumni 2008 seramai 5 orang sahaja sedangkan alumni dari tahun 2007 tiada kehadiran yang dicatat. Hal ini disebabkan oleh pelbagai halangan. Antaranya ialah kesukaran untuk menghubungi mereka dan mereka berada jauh di luar negeri serta sibuk dengan tugasan masing-masing.

Dari segi pencapaian objektif, PJU kali ini dilihat hanya berhasil mencapai dua daripada tiga objektif yang telah ditetapkan. Iaitu ‘menghubungkan kembali silaturahim yang terpisah’ dan ‘menjalin keakraban dan kepercayaan terhadap sesama sahabat’. Manakala bagi point ‘mengeratkan hubungan antara sesama pelajar dan juga guru-guru’ gagal dicapai kerana masing-masing guru ada urusan lain yang lebih penting sehingga tidak dapat menghadirkan diri dalam PJU.

Salah satu perkara yang amat menarik ialah apabila Mudir / Pengetua, Yang Berbahagia Ustaz Kamaruddin Ibrahim, berucap untuk merasmikan PJU pada pukul 8 malam. Beliau ternyata sangat bersyukur dan menyokong sepenuhnya program reunion seperti ini. Beliau bangga kerana berkat sokongan dari semua pihak program yang pertama kali ini berjaya dilaksanakan.

Beliau memberi laluan yang seluas-luasnya agar program serupa dapat diadakan secara lebih besar-besaran lagi. Demi menghimpunkan semula semua bekas pelajar Al Ulum, tidak mengira tahun, sama ada muslimin ataupun muslimat, biar semua bisa berkumpul dan bersilaturrahim. Ya, ini merupakan satu anjakan paradigma dalam meniti arus globalisasi persaudaraan dan kerjasama antara pihak sekolah dengan para alumni di Al Ulum.
Walaupun begitu, PJU juga masih menyimpan banyak kelemahan dan kekurangan. Pengisian program ada yang ‘terhapus’ dan batal dilaksanakan. Slot Bicara Rindu, gagal dilaksanakan kerana tiada seorang pun guru yang hadir. Sedangkan Slot Qiamullail secara berjamaah juga terpaksa dibatalkan kerana hampir keseluruhan peserta tidur lewat malam. Selain itu, ketiadaan ‘orang senior’ ternyata amat dirasai apabila peserta bersikap kurang disiplin dan tidak menghiraukan arahan dari urusetia yang rata-rata berumur sebaya. Semoga kelemahan ini dapat diambil perhatian agar ia tidak terulang untuk kedua kalinya.

Sebagai penutup kalam akhir, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga Al Ulum atas sokongan dan bantuan yang telah disumbangkan. Khususnya kepada Ustaz Kamaruddin Ibrahim yang sanggup meluangkan masa bersama para alumni walaupun hanya dalam hitungan minit. Juga kepada semua sahabat-sahabat alumni Al Ulum sekalian. Tahniah! Ini program pertama kalian, yang diadakan dan diurus secara berdikari tanpa kelibat guru pembimbing secara langsung dan dapat dilaksanakan dengan lancar. Serta jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bergerak di sebalik tabir. Tanpa kalian pastinya PJU kali ini tidak akan berjalan dengan lancar.

Harapan kami, semoga program untuk alumni dapat dipertingkatkan lagi demi mencapai matlamatnya yang mulia. Seterusnya kelangsungan proses pentarbiyahan dan kepemimpinan pelajar di sini serta silaturrahim yang dibina tidak pernah terputus dan hilang ditelan arus zaman. Wallahu a’lam bissowab.

Friday 20 January 2012

Opini Pemuda

Akhirnya saya bisa juga bertatap muka langsung dengan Adam Adli. Mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tiba-tiba sahaja naik daun, menjadi terkenal di persada Malaysia dalam sekelip mata. gara-gara dia menurunkan bendera Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak selama lima minit, kemudian menaikkannya semula. Peristiwa ini terjadi ketika sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di kandang UMNO, Putra World Trade Centre (PWTC).

 Implikasi dari perbuatannya tersebut, Adam Adli sekarang digantung pengajiannya selama 3 semester. Namun begitu, beliau ada berkata bahawa mencari ilmu itu ada di mana-mana. Tidak hanya di bilik kuliah sahaja. Beliau boleh mendapatkan ilmu di atas pentas, di lingkungan sekelilingnya dan bahkan di jalan-jalan raya. Itulah realiti kehidupan kita sekarang ini. Begitulah katanya dalam Pidato Mahasiswa ketika beliau menyampaikan ucapannya di Kelantan Trade Centre (KTC). Acara yang dihadiri ribuan mahasiswa dan sebahagian pelajar sekolah menengah. Pidato Mahasiswa itu kali ini bertema "Suara Mahasiswa, Suara Keramat."

Seperti halnya dalam setiap peristiwa bersejarah, pasti ada sahaja pihak yang melemparkan pandangan positif dan ada pula pihak yang memberi pandangan negatif. Tidak jauh berbeza dengan apa yang telah terjadi kepada Adam Adli ketika itu. Banyak orang yang memberi pandangan positif namun tidak kurang juga golongan masyarakat yang membencinya,. Walau bagaimanapun, saya pulangkan kepada sahabat-sahabat pembaca sekalian tentang pandangan peristiwa penurunan bendera PM Malaysia tersebut. Pastinya dengan menilai pelbagai aspek dan melihatnya dari sudut dimensi yang luas. Bukan dari kacamata kekanak-kanakan.

Di sini saya hanya mahu berkongsi sedikit cerita berkaitan dengan kebebasan bersuara bagi para pemuda. Ketika itu saya masih berusia 16 tahun, saat saya masih belajar di Pondok Pesantren Al Anwar, di Kota Jombang (80km ke arah barat Surabaya) JawaTimur Indonesia. Yang merupakan salah sebuah pondok pesantren atau institusi agama daripada beratus-ratus pondok pesantren lain di kota kelahiran saya. Dalam usia semuda itu, kami (saya dan seluruh pelajar agama/santri) telah menyertai dua kali demonstrasi yang diadakan secara besar-besaran.

Beribu-ribu santri dari pelagai pondok pesantren berhimpun dan turun ke jalanan di gedung Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) kota Jombang. Kami bebas membawa sepanduk, melaungkan slogan dan kata-kata penyemangat. Pihak polis bekerjasama dengan baik ketika itu, semuanya berjalan lancar. Meski kadang-kadang polis Indonesia bersikap tegas dan kejam.

Bukan hanya di Jombang sahaja, bahkan demonstrasi ketika itu turut diadakan secara serentak di seluruh kota-kota besar di Indonesia. Saat itu, kami berdemonstrasi untuk menentang kehadiran presiden Amerika Syarikat, George W. Bush yang ingin berkunjung ke Indonesia.

Apa yang ingin saya tekankan di sini, di Indonesia pemuda bebas bersuara. Mengkritik kerajaan atau apa-apa dasar negara yang merugikan rakyat. Ya, meski kadang-kadang harus berdepan dengan gas pemedih mata dan kekejaman polis. Pemerintah tetap memberi kebebasan bersuara. Dan, dalam usia 17 tahun pemuda Indonesia sudah layak untuk mengundi.

Saya amat tertarik dengan kalam akhir yang diucapkan oleh Adam Adli di KTC semalam. Beliau memetik kata-kata mahasiswa dari tanah air saya, Indonesia. Dialah Soe Hok Gie. Pemuda yang lantang mengkritik Soekarno, presiden yang digelar sebagai Bapak Revolusi Indonesia. Dia menentang Soekarno kerana Soekarno berani mengistiharkan dirinya sebagai presiden seumur hidup. Adam Adli memetik kata-kata Soe Hok Gie, "Lebih baik hidup terpencil daripada menyerah pada kemunafikan."

Ya, benar! Apa yang benar mesti disampaikan walaupun itu pahit. Inilah suara pemuda, suara generasi yang akan mengetuai kemudi negara, bangsa dan agama. Walaupun Indonesia tetap di takuk rimba korupsi dan jerat kemiskinan, namun apa salahnya negara ini mencontohi sikap demokrasi dan kebebasan bersuara Indonesia yang tak pernah padam?

Saturday 14 January 2012

MANUSKRIP


Dingin. Angkasa malam diselimuti kegelapan. Rembulan terlelap dibuai lena. Tidak menampakkan cantik wajahnya. Malam ini. Begitupun bintang-bintang. Tersipu malu di sebalik awan.

Retinaku masih tertumpu pada coretan-coretan kusam itu. Fail-fail rahsia sejarah dunia. Sementara gerimis masih setia membasahi padang yang berembun. Riuh dalam sepi. Dan kesejukan terus menyerang benteng-benteng epidermisku.

Kuyakin sejarah memang amat bererti. Ia juga penuh misteri dan tanda tanya dalam setiap helai lembarannya. Majoriti manusia yang jahil seperti diriku ini hanya menelan bulat-bulat apa yang diungkapkan oleh pena sejarah. Salah atau benar, asli atau palsu. Kuhiraukan semua itu. Tanpa perlu kutelusuri riwayat penyampaiannya.

Namun tiba-tiba sahaja manuskrip kusam ini menyentak fikiranku. Menyelongkar setiap leliang kebodohan dalam sistem saraf pusat. Mencabar setiap kepercayaan yang selama ini bertahta di relung hati. Mengubah persepsi yang sekian lama mengepung atmosfer kotak pemikiran.

Ia seakan lembaran sejarah yang tersembunyi! Yang selama ini tak pernah diungkapkan kepada khalayak umum. Entah demi kepentingan politik pada zaman itu. Atau kerana kecacatan dalam pengumpulan bukti-bukti sejarah silam. Aku berhasil mendapatkannya beberapa hari lepas dari sahabat dunia mayaku dari Australia.

Otto Hahn, seorang Jerman yang membuat ledakan bom atom pertama pada tahun 1938!

Antonio Meucci, (1808 – 1889) dari Itali merupakan penemu telefon pada tahun 1849. Dan Alexander Graham Bell, yang sebenarnya bekerja pada Meucci, mengiktiraf salinannya pada tahun 1876 dan kemudian mengakui sebagai penemunya!

Orang Eropah Selatan pertama yang menemukan Amerika Utara pada tahun 1472 adalah seorang berbangsa Portugis yang bernama Joao Vas De Corte Real pada suatu misi penemuan rahsia. Ada juga yang meriwayatkan, bangsa Phoenicians telah mengunjungi Amerika Utara jauh sebelum itu. Dan Columbus datang pertama kali dua puluh tahun kemudian, tahun 1492!

*****

Sepi! Deru nafasku lirih. Tapi keheningan situasi ini membuatnya seakan bergemuruh di gegendang cochlea ini. Bebola mataku kembali melirik tajam. Menelusuri fakta-fakta yang berselerak itu. mencari-cari seberkas sinar harapan. Bagi merungkai sesuatu yang membuatku kebingungan.

Ah! Sia-sia. Perempuan itu sungguh membuatku mati kutu! Entah, teka-teki remeh yang sukar dipecahkan.
“Siapakah yang pernah menjadi pembunuh 1/6 penduduk dunia?” gumamku. Mengimbas kembali teka-teki yang pernah diajukan olehnya kepadaku. Jiwaku terpuruk kaku dalam kondisi sebegini.

Nazi Otto Adolf Eichman, dianggarkan hanya membunuh sedikitnya 12 – 18 juta orang sahaja. Tetapi aku yakin dia tak sampai membunuh sampai 1/6 penduduk dunia! Gengis Khan juga tidak menepati kriteria persoalan tadi. Pembunuhan massal oleh pemerintah Cina sejak tahun 1949 – 1971 adalah seramai 323 – 617 juta! Seperti yang termaktub dalam “Laporan Walter” yang dibuat pada tahun 1971. Nihil! Masih tiada jawaban yang sesuai. Pelbagai spekulasi yang kubuat belum membuahkan hasil. Manuskrip usang sejarah dunia itu juga tidak bisa memberiku jawaban walau sepatah ayat.

Diam. Kutermenung sejenak. Soalan-soalan dari perempuan itu kembali menghujani kanvas pemikiranku. Bertubi-tubi! Belumpun selesai kurungkai masalah yang pertama.

“Di dalam al Quran terdapat 144 surah. Setiap surah pasti diawali dengan Basmalah. Tetapi surah at Taubah tak mempunyai Basmalah.” Jelasnya panjang lebar. Aku hanya angguk. Pasrah.

 “Jadi untuk 144 surah tersebut hanya ada 143 Basmalah. Padahal apabila ia dikira semula, semuanya cukup! Terdapat 144 surah dan 144 Basmalah. Di manakah letaknya Basmalah yang satu lagi?” Tanyanya kepadaku.

Kuhirup nafas panjang. Cuba mengambil inspirasi dari tempias air hujan malam ini yang masih perawan. Menyegarkan kembali liang-liang fikiran yang semakin kusut masai. Pena dihujung jari kuputar-putar lesu. Sesekali mengikut arah jam, sesekali melawan arus putarannya. Ternyata masih banyak perkara lagi yang belum kuketahui. Meski umur semakin mendekati dekad kedua. “MasyaAllah…” hembusku lemah.

Aku masih belum berganjak dari tempat dudukku. Mendepani susunan rapi buku-buku kuno dan kitab-kitab salafy yang berjajar di rak buku. Mengamatinya satu per satu. Entah entah ada buku atau dokumen yang dapat kujadikan rujukan yang sesuai.

Senaskhah kitab kuning tua menarik perhatianku. Hampir hancur diserang arus masa. “Kitab Qisasul Anbiyaa”, gumamku dalam hati. Ini kitab yang pernah aku telaah dulu ketika bulan Ramadhan di pondok pesantren al Anwar. Sudah banyak bahagian-bahagiannya yang rosak. Sukar untuk dibaca kerana tulisannya pun nampak kabur.

Kubuka lembaran pertama, senarai kandungan. “Pembunuhan pertama di dunia.” Aku terkejut sejenak. Tajuk kecil yang membuatku penasaran. Segera jemariku menelusuri lembaran –lembaran kitab itu. Halaman 12! Sial. Sudah tiada, halaman 12 dan 13 sudah tercabut. Entah tercicir di mana. “Sstt…! Tetapi cuba lihat halaman 14! Ada sesuatu petunjuk di situ. Surah al Maaidah ayat 27 – 32.” Bisikku meyakinkan diri.

Dengan sigap telapak tanganku kini meraih sebuah kitab kitab suci al Quran. Yang tak pernah berbohong terhadap sejarah masa lalu dan ramalan masa depan! Dzaalika al kitaabu laa raiba fiih…

Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putra Adam, ketika keduanya mempersembahkan kurban, maka (kurban) salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata ”Sungguh, aku pasti membunuhmu!” Dia (Habil) berkata, “Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertakwa.” (Al Maaidah : 27)

Mungkinkah dia seseorang yang aku cari? Si pembunuh 1/6 penduduk dunia? Sebentar, bukankah pada zaman itu yang menghuni dunia ini hanyalah 6 orang, Nabi Adam, Siti Hawa, Qabil, Habil, Iqlima dan Lubuda?

Ya, tepat sekali! Itulah jawabannya. Qabil membunuh Habil kerana dia enggan dinikahkan dengan Lubuda, adik Habil. Qabil ingin menikah dengan adiknya sendiri, Iqlima yang mempunyai paras lebih cantik dan ayu. Qabil juga tidak rela menyerahkan Iqlima kepada Habil!

“Hm… begitulah kecantikan dan keelokan paras wanita. Selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadang-kadang menjurus kepada permusuhan yang sampai bisa mengakibatkan nyawa melayang,” hatiku bermonolog dalam sunyi.

*****

Hujan di luar sana semakin lebat sahaja. Angin Monsun semakin bergelora menyapu Pantai Timur. Menerpa dedaunan hijau dan rerumputan ilalang. Dingin. Ya, masih tetap dingin. Hampir sepanjang hari hujan mengguyur tanah Serambi Mekah ini.

Pernah ketika dulu ragaku terpenjara di dalam asrama ini selama satu minggu lebih. Kerana hujan yang turun tanpa kompromi, tiada henti. Biasalah, bulan Disember. Masih dalam lingkungan masa musim tengkujuh. Tetapi aku tetap bersyukur bisa merasakan pengalaman ini. Ia seakan-akan membawaku menikmati musim dingin di Eropah. Sayangnya di sini yang turun bukan hujan salji!!!

Otakku masih buntu! Teka-teki pertama telah terpecahkan. Soalan kedua? Aku masih berfikir untuk menghubungkaitkan semua kata kunci yang telah ada. Aku peras otak ini untuk memanggil kembali memori – memori lalu. Memanggil sejarah-sejarah silam. Mungkin juga ada kaitannya dengan persoalan pertama tadi.

Cepat-cepat kuraih semula naskhah kitab suci al Quran, manuskrip teragung sepanjang zaman! Kubuka helaian demi helaian menelusuri fakta yang tersembunyi. Kucari surah-surah yang berkaitan dengan kisah Nabi Sulaiman a.s dan burung Hudhud. Feeling-ku merasakan ada sesuatu yang menarik dalam kisah cinta raja Sulaiman dan ratu Balqis. Ia bukan sekedar kisah cinta biasa. Cinta yang berputik kerana Allah swt, kerana agama-Nya. Mungkin aku bisa mendapat sedikit petunjuk di situ.
Kujejaki setiap ayat-ayat suci yang tertera di situ. Tiba-tiba pandanganku terhenti. Jejariku tegas menuding setiap baris ayat-ayat suci ini. Nafasku terus bergejolak memainkan emosi sekujur jiwa raga. Kubaca dengan teliti dan penuh konsentrasi.

“Sesungguhnya (surat) itu dari Sulaiman yang isinya, “Dengan nama Allah swt Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Janganlah engkau berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang –orang yang berserah diri.”

Ya, tepat sekali! Inilah jawabannya. Sungguh benar. Terdapat 144 surah dan 144 Basmalah di dalam al Quran. Subhanallah!!! Ia terletak pada ayat ke 30 surah an Naml. Yang menceritakan perihal surat Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis di negeri Saba’. Tidak dapat disangkal lagi.

Secepat mungkin kuraih Sony Ericsson Cedarku yang tersadai di atas meja kayu itu. Segera kudail nombor perempuan itu.
“Assalamualaikum Anis, aku berhasil memecahkan kedua teka-tekimu itu!” ucapku dengan senyum lebar mekar di bibir. Lega!

“Waalaikumsalam, okay… Congrats!” kata adik perempuanku itu, ringkas. Belum sempat aku melafazkan kalam, dia lagi-lagi mengangkat bicara memecah atmaku.

“Apa yang diciptakan terlebih dahulu, bumi ataupun langit?” tanyanya. “Aduh, nampaknya aku perlu mengkaji dan meneliti lagi manuskrip teragung mukjizat Rasulullah saw itu,” gumamku lirih.

“Itu bukan manuskrip,” sergahnya.
“Maksudmu?” Aku tertegun dalam kehairanan.
“Manuscript is a very old book or document that was written by hand. Do you understand?” dia mengepungku dengan kalam yang benar-benar membuatku tergagap.
“Ia adalah Kalamullah,” secara kebetulan kami berdua melafazkannya bersama-sama.





Padang Embun,
15.58
20 Safar 1433 H / 14 Januari 2012