Powered By Blogger

Monday 26 December 2011

Bicara Cinta


Alhamdulillah, lega rasanya tangan ini dapat kembali mengukir luahan kata yang terpendam. Menjengah kembali dunia siber bersama coretan ringkas ini, Bicara Cinta. Tajuk yang terlalu besar untuk dibahas dan menyimpan seribu satu misteri.

Tetapi maaf, saya bukan Ustaz Cinta yang akan merungkai fenomena cinta ini secara terperinci. Saya juga bukan Ahmad Dani, vocalist group band Dewa yang bercita-cita untuk memimpin Republik Cinta. Dan juga bukan anggota band Zivilia yang asyik menyanyikan lagu Aishiteru. Saya tetap saya. Manusia biasa yang punya pengalaman unik tentang cinta. Semoga sama-sama kita dapat mengambil iktibar darinya.

Cinta (love) diertikan sebagai a strong feeling that you have when you like somebody / something very much. Begitulah definisi cinta menurut New Oxford English-English-Malay Dictionary 2nd Edition. Dalam kesempatan yang singkat ini saya tak perlu menjelaskan definisinya menurut Kamus Arab, Indonesia, mahupun Kamus Dewan. Anda dapat merujuknya sendiri, saya tiada ketiga-tiga kamus tersebut.

Dahulu kala, ketika itu saya masih kanak-kanak lagi. Kalau tidak salah baru berumur 9 tahun. Adalah di kelas tempat saya sekolah seorang murid perempuan yang menjadi idaman setiap murid lelaki. Pacarnya hanya seorang. Itu baru yang ‘berdaftar’ dan berjaya ‘mengisi borang percintaan’ dengannya. Sementara murid lelaki yang lain masih banyak lagi yang ‘beratur’ merebut hatinya.

Kalau dikata perempuan tadi itu cantik, mungkin begitulah. Dia pun memang baik, pandai berkawan. Dia akan belanja apa sahaja untuk kekasihnya. Maklumlah dia anak orang kaya! Mungkin kerana harta itulah banyak teman-teman lelaki yang berlumba-lumba menawan hatinya.

Singkat cerita, bila telah sampai masa dia selesai sekolah menengah (kira-kira umur 18 tahun), dia kerap kali bertukar kekasih. Mudah bosan agaknya, orang kata cinta monyet.

Tetapi akhirnya, baru-baru ini saya dapat khabar bahawa dia telah menikah! Terkejut hati saya, baru 18 tahun sudah menikah? Saya pun tertanya-tanya, dengan siapa dia menikah? Suaminya-lah! Memang, tetapi tahukah anda? Suaminya bukanlah orang yang pernah dia kenal, apalagi sebagai kekasih zaman sekolahnya dahulu! Saya pun berasa kasihan dengan teman-teman lelaki saya yang pernah menjadi kekasihnya dahulu. Bercinta hanya untuk kepuasan nafsu semata, bukan untuk menegakkan sunnah Nabi Muhammad saw.

Begitulah takdir perempuan tadi, menikah dengan seorang lelaki pilihan ibu bapanya sendiri. Memandangkan dia sudah enggan melanjutkan pelajaran jadi lebih baik begitu. Saya salut kepadanya. Ya, sebagai seorang sahabat saya turut bahagia dengan pernikahannya. Bersanding dengan lelaki yang lebih soleh pilihan keluarga, daripada menghabiskan masa muda dengan sesuatu yang tidak berfaedah seperti ‘couple’ itu.

Daripada dia terjerumus dalam lembah kehancuran, lebih baik dia memilih jalan itu. Walaupun pacar ramai, dia tetap dapat menjaga ‘kehormatannya’. (Yang maksiat-maksiat lain itu memanglah salah, tetapi setidaknya dia masih diberi peluang oleh Allah swt untuk lari dari musibah zina, na’udzubillah!). Semoga bahtera keluarga yang dia bina berkekalan hingga ke syurga, Amin!

Bagaimana kawan? Itulah cinta zaman remaja! Ada orang bilang “cinta itu ibarat kentut, jika diluahkan akan bikin rebut, jika didiamkan akan bikin sakit perut”. Bukankah lebih baik cinta itu didiamkan? ‘Sakit’ itu hanya sementara, berbanding dengan hilangnya maruah diri apabila ia ‘bikin ribut’ gara-gara diungkapkan bukan pada masa dan tempat yang sesuai!

15.58 Padang Embun
Ahad, 25 December 2011

Saturday 10 December 2011

Barack Obama, Kaum Nabi Lut a.s dan Kota Pempeii

Nampaknya Obama mesti mempelajari lebih dalam lagi tentang sejarah-sejarah di dunia. Bagaimana tidak, baru-baru ini orang nombor satu di Amerika Syarikat itu telah mengeluarkan kenyataan yang amat menyebalkan. Obama mengumumkan negara itu akan menggunakan segala cara untuk menyokong golongan homoseksual di seluruh dunia.

Dia berkata, “Saya amat bimbang dengan keganasan dan diskriminasi terhadap golongan gay, lesbian, biseksual dan transeksual di seluruh dunia jadi saya menggesa usaha dilakukan untuk menghentikan layanan buruk terhadap mereka”.

Kononnya, Obama mengeluarkan kenyataan demikian bagi meraih sokongan daripada golongan tersebut, yang merupakan salah satu penyokong berpengaruh pada saat pilihan raya AS 2008. Kenyataan tersebut pastinya akan menimbulkan masalah dengan negara sekutu Washington, terutama negara Islam seperti Arab Saudi.

Dalam pada itu, Hillary Clinton, Setiausaha Negara AS turut mengumumkan Washington akan memberi peruntukan awal sebanyak RM9.4 juta untuk dana menyokong badan bukan kerajaan yang berjuang dalam isu homoseksual di seluruh dunia. (Sumber : Sinar Harian, 08 Dis 2011)

Itulah fakta yang telah dinyatakan oleh kerajaan pimpinan Obama. Suatu kenyataan yang sangat membimbangkan bagi kita umat Islam, khususnya di Nusantara ini. Suatu keputusan yang tidak bertamadun dan hanya berselindung di sebalik tabir hak asasi manusia. Namun, tahukah anda? Homoseksual merupakan tindakan tidak bermoral yang hanya berpaksikan pada kepuasan nafsu haiwan semata! Bukan hak asasi kita sebagai manusia!

Kaum Nabi Lut a.s

(Demikian juga) kaum Nabi Lut a.s telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka). Tatkala saudara mereka-Nabi Lut, berkata kepada mereka : “Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah swt dan menjauhi larangan-Nya. “Sesungguhnya aku ini rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu. Oleh itu, takutlah kamu akan (kemurkaan) Allah dan taatlah kamu kepadaku. Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku) ; balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam. Patutkah kamu melakukan hubungan sejenis dengan  lelaki dari kalangan manusia? Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhanmu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu?(Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan!)” . Mereka menjawab, “Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!” Nabi Lut a.s berkata,”Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji.” (As Syuara : 160-168).

Sejarah telah mencatat beberapa kaum telah dimusnahkan akibat tindakan homoseksual ini. Salah satunya ialah kaum Nabi Lut yang hidup di kota Sodom. Nabi Lut a.s merupakan salah seorang nabi Allah swt. Nabi Lut a.s diutus kepada satu kaum yang berjiran dengan kaum Nabi Ibrahim a.s, mereka hidup sezaman.

Al Quran telah menyebut, kaum Nabi Lut a.s membudayakan satu perbuatan yang menyalahi kesusilaan, iaitu liwat. Apabila Nabi Lut a.s mengajak kaumnya untuk meninggalkan perbuatan tersebut dan juga peringatan dari Allah swt, mereka telah menolak seruan itu. menafikan kerasulannya sambil meneruskan perbuatan terkutuk itu. Akhirnya masyarakat itu telah dimusnahkan melalui satu malapetaka yang sungguh dahsyat.

Bandar tempat tinggl kaum Nabi Lut a.s disebut oleh Perjanjian Lama sebagai Bandar Sodom. Bandar ini terletak di bahagian utara Laut Merah dan dipercayai telah dihancurkan seperti yang tersebut di dalam al Quran. Kajian-kajian arkeologi mendapati bahawa Bandar ini terletak di kawasan Laut Mati sepanjang sempadan Israel-Jordan.
Bandar Sodom ini telah diterbalikkan akibat daripada bencana gempa bumi dan gunung meletus, sebagaimana yang diceritakan di dalam al Quran surah Hud ayat ke 82-83, “Makaapabila datang (masa pelaksaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala apa yang ada di permukaan buminya), dan Kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.” Apabila kaumnya dihapuskan, hanya Nabi Lut dan mereka yang beriman sahaja yang terselamat. Bilangan mereka hanyalah seramai satu isi rumah sahaja. Isteri Nabi Lut a.s juga tidak beriman dan telah bersama-sama dengan kemusnahan.

Kenyataan ‘diterbalikkan’ membayangkan bahawa wilayah itu telah dihancurkan sama sekali oleh satu gempa bumi yang hebat. Sejurus itu, Tasik Nabi Lut, tempat terjadinya bencana tersebut menjadi bukti nyata peristiwa itu. Tasik Nabi Lut (Laut Mati) sebenarnya terletak tepat di atas wilayah gempa bumi aktif. Dasar Laut Mati terletak pada asas pergerakan bumi yang mengahala ke bawah. Lembah ini terletak dalam keadaan ketegangan antara Tasik Taberiye di utara dan pertengahan Lembah Arabah di bahagian selatan.

Begitulah akibatnya, mereka yang menderhakai rasul serta undang-undang Allah swt telah ditenggelamkan dan tertimbus di dalam kemodenan Bandar mereka sendiri. Menurut kajian, peristiwa tersebut berlaku sekitar 1800 SM.

Kota Pompeii

Pompeii merupakan kota yang terletak di sebelah timur Gunung Vesuvius yang merupakan simbol negara Itali, khususnya Bandar Naples (terletak di pinggiran gunung ini). Kehancuran masyarakat di Pompeii adalah disebabkan oleh letupan gunung berapi, Vesuvius. Lava dan abu dari muntahan dari gunung berapi yang hebat yang berlaku dua millennium yang lepas telah memerangkap penduduk di Bandar tersebut. Mereka mati terperangkap ketika sedang menjalankan urusan harian mereka dan kekal begitu hingga sekarang. Seolah-olah masa telah dibekukan!

Bencana ini terjadi bukanlah tanpa sebarang sebab. Rekod-rekod sejarah menunjukkan bahawa Pompeii telah menjadi pusat memuaskan hawa nafsu dan perbuatan yang melampaui batas kemanusiaan. Bandar ini juga telah menjadi sarang pelacuran sehingga tidak dapat ditentukan jumlah rumah-rumah pelacuran yang ada. Masyarakat mereka mengikuti tradisi yang berasal daripada kepercayaan Mithra yang mengatakan bahawa alat-alat kelamin dan perlakuan persetubuhan tidak sepatutnya terlindung tetapi mestilah dilakukan di tempat yang terbuka.

Tetapi, lava dari Vesuvius telah memusnahkan mereka dan memadamkannya dari peta dalam sekelip mata. Tidak ada seorangpun yang selamat. Seolah-olah mereka tidak sedar bencana alam yang hebat berlaku. Banyak pasangan yang melakukan aktiviti seksual ditemui menjadi batu. Pasangan-pasangan sejenis bahkan pasangan kanak-kanak lelaki dan perempuan turut membeku. Wajah-wajah yang membatu daripada sebahagian mereka jelas kelihatan menahan kesakitan yang sangat.

Di sebalik semua ini, Pompeii tidak mengalami banyak perubahan. Di daerah Naples, kegiatan-kegiatan untuk melepaskan hawa nafsu masih berterusan sebagaimana keadaannya di Pompeii. Kepulauan Capri kini menjadi pusat bagi homoseksual dan berbogel, syurga bagi homoseksual. (Sumber : Kaum-kaum yang Pupus, Saba Islamic Media 2010).

Kini, bukan hanya di kepulauan Capri atau Itali, bahkan di serata dunia keruntuhan moral dan akhlak telah melanda. Manusia yang hidup tanpa agama telah hilang pegangan, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Kita sebagai umat Islam mesti bijak menangani isu ini. Baik di Indonesia mahupun di Malaysia, harus memperkukuh lagi usaha ke arah menentang segala aktiviti yang melampaui ini. Tambahan pula, Pak Obama sebagai orang berpengaruh dunia, yang masih memiliki darah keluarga muslim~walaupun dia non-muslim~ semestinya memikirkan untuk yang kesekian kalinya bagi mempertimbangkan langkah itu. Jika Pak Obama masih sahaja meneruskan langkah untuk menyokong dan memberi bantuan kepada apa jua bentuk homoseksual, maka tunggulah kehancuran dan kebinasaan  yang telah dijanjikan oleh Allah swt!

Friday 2 December 2011

Menulis? Mengapa tidak?

Menulis merupakan salah satu pelajaran asas yang telah kita pelajari sejak dari kecil lagi. Bermula dari huruf per huruf, kata per kata, ayat per ayat, sehingga terbentuklah untaian ayat yang menyusun suatu perenggan. Dari suatu perenggan itulah, kita dapat menyampaikan mesej ataupun corak pemikiran kita untuk difahami oleh orang lain. Ya, sebenarnya kita mengajak orang lain berkomunikasi melalui tulisan kita. Bahkan kita dapat mempengaruhi kotak pemikiran mereka melalui tulisan kita! Walau secara kebiasaannya, kita lebih terbiasa berkomunikasi melalui pancaindera, bukan jari-jemari.

Selain itu, tahukah anda mengapa orang Yahudi laknatullah alaihim kelihatan lebih maju dan pandai berbanding kita, umat Islam yang digelar sebagai ‘Khairu ummah’? Salah satunya ialah mereka lebih terkehadapan dan inovatif dalam bidang pendidikan dan penulisan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap 1,000,000 orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat atau tidak. Di Pakistan, contoh sebuah negara Islam, hanya ada 23 surat khabar harian per 1,000 rakyatnya. Sementara nisbah di Singapura ialah 360 per 1,000 rakyatnya. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir hanya 20. (sumber : Palestin Tak Pernah Gentar!, Telaga Biru : 2009)

Masih terlalu banyak rahsia-rahsia dan kepentingan tulisan dalam kehidupan kita. Insyaallah ia akan kita bahas dalam satu artikel yang lain. Dalam kesempatan yang terhad ini, kita akan cuba berbincang tip-tip sederhana tentang bagaimana kita hendak memulakan penulisan untuk tatapan umum. Berikut ialah langkah-langkah yang dapat dipertimbangkan keberkesanannya :

1>        Mulakan dari yang terkecil

Langkah seribu bermula dari langkah yang pertama. Karya bermula dengan susunan perenggan, perenggan bermula dengan rangkaian ayat-ayat. Perkataan bertindak sebagai rangka ayat, perkataan itu juga tersusun dari beberapa huruf. Begitulah, ia bermula dari perkara yang terkecil. Selain itu, ia juga bermula dari sebuah idea yang kecil dan remeh-temeh. Sebelum kita melangkah jauh untuk menyampaikan sesuatu yang lebih besar dan menarik.

Kita mesti mengubah persepsi bahawa hasil karya tulisan kita harus menarik dan panjang. Tidak! Tanamkan anjakan paradigma yang baharu dalam diri kita bahawa tulisan tidak harus panjang berjela-jela. Kita harus sedar, untuk menyampaikan mesej atau sesuatu pemikiran, kita cuma memerlukan beberapa ayat dasar. Dari ayat dasar itulah kita boleh mengembangkannya menjadi suatu karya yang menarik. Jika belum mampu, cukup sampaikan sahaja kalam-kalam sederhana yang hendak kita ungkapkan.

Misalkan, kita sudah mempunyai idea untuk menghasilkan karya yang panjang dan menarik. Tetapi tiba-tiba sahaja kita kekok untuk memulakannya. Kemudian kita pun pening untuk memilih ayat yang betul, kan? Oleh itu, kita harus terbiasa untuk memulakan dari yang terkecil. Biasakanlah untuk menulis ayat-ayat pendek sederhana. Seperti status dalam FB ataupun dalam buku diari anda. Tamsilannya, menulis luahan hati ataupun peristiwa-peristiwa penting, lucu atau juga nota-nota ilmiah ketika berada di majlis ilmu. Dengan begitu, otak kita akan terangsang untuk terus menulis.

2>        Perluas sayap ilmu pengetahuan

Sudah berapa banyakkah buku pelajaran yang telah anda pelajari selama anda memasuki darjah satu sehingga saat ini? Saya rasa anda tidak akan pernah tahu jumlahnya. Terlalu banyak bukan? Ya, seluas itulah pengetahuan anda. Belum lagi jika ditambah bahan-bahan bacaan ilmiah yang lain. Tentunya sudah cukup banyak pengetahuan yang tersimpan di dalam otak serebrum anda. Dengan begitu, secara automatic anda akan terangsang untuk menyatakan apa yang anda ketahui kepada orang lain.
Ditambah lagi semua maklumat sekarang berada hanya di hujung jari kita. Mahu cari apa? Tinggal taip sahaja, si ‘Google’ akan menyediakan apa sahaja berkaitan dengan apa yang anda cari. Semudah itu!

3>        Pelbagaikan bahan bacaan

Sengaja tip ini dipisahkan dari tip yang di atas. Agar tujuannya lebih jelas, kita dapat mengkaji dan mempelajari bagaimana ayat-ayat gramatik tersusun. Bagaimana untuk menghasilkan tulisan yang menarik untuk dibaca. Serta bagaimana untuk mencari inspirasi tentang idea-idea yang baharu dan tidak menjemukan.

Kita dapat mempelbagaikan bahan bacaan kita seperti novel Islami, cerpen, puisi, syair, narrative, argument atau artikel. Susunan ayat dalam cerpen berbeza dengan artikel, puisi berbeza dengan syair, argument berbeza dengan narrative, dan begitulah seterusnya. Oleh itu, kita cuba untuk membaca karya yang pelbagai itu agar kita dapat memperkaya kosa kata bahasa penulisan kita.

4>        Sentiasa bersama pen & nota

Pen dan  nota merupakan senarai wajib bagi para pelajar mahupun siapa sahaja yang gemar menulis. Kita tidak tahu bilakah inspirasi akan turun. Bilakah ilham akan merembes ke dalam kalbu. Ia bisa datang pada bila-bila masa. Selari dengan itu, ilmu pengetahuan juga bisa datang secara tiba-tiba. Oleh itu, sediakan pen dan nota agar kita sentiasa bersedia untuk menulis jika idea tiba-tiba muncul.

Dalam pada itu, catat nota-nota penting apabila anda membaca buku-buku ilmiah. Ini memudahkan anda untuk membuat rujukan sekiranya anda hendak menulis sesuatu karya ilmiah yang memerlukan fakta sahih. Begitu juga jika anda mentadarrus al Quran, pastikan anda mencatat nombor ayat dan nama surah yang menarik perhatian anda. Ini amat membantu untuk dijadikan dalil penguat hujjah dalam tulisan anda.

5>        Pilih platform yang sesuai

Platform merupakan medium terpenting untuk menempatkan hasil tulisan kita. Pada zaman mutakhir kini, terlalu banyak platform yang tersedia untuk mencurahkan hasil tulisan kita. Kita dapat menggunakan ruang catatan dalam FB sebagai platform terbaik untuk memulakan penulisan. Update status merupakan contoh yang paling ringan. Tetapi pastikan apa yang anda taip adalah perkara yang positif. Apabila anda menulis status negative, sebenarnya anda turut mempengaruhi minda orang lain untuk berfikir negative.

Selain itu, anda juga dapat membuat laman blog sendiri. Anda tak perlu malu atau takut. Semua orang punya hak untuk menulis, selagi itu perkara benar. Apatah lagi kita sebagai generasi peneraju masa depan Islam. Anda dapat berdakwah melalui blog anda! Berikut adalah contoh-contoh blog professional yang dapat kita jadikan  panduan sama ada dari segi tata letak blog mahupun isi yang dikemukakan :


6>        Petik kata-kata tokoh dunia

Hal ini amat penting untuk membuat tulisan anda lebih menarik dan dewasa. Pastikan kata-kata tersebut bersesuaian dengan tajuk atau topic tulisan anda. Dan menyebut nama tokoh yang mengucapkan kata-kata tersebut adalah lebih baik dalam menarik perhatian pembaca. Anda dapat mencari kata-kata ini di Google.

Adalah lebih baik jika anda mengambilnya dari dunia Islam seperti sabda Rasulullah saw, para Sahabat r.a serta ilmuwan-ilmuwan Islam yang lain. Namun adakalanya kita juga harus memetik kata mutiara dari tokoh-tokoh dunia yang bukan Islam. Kerana setiap kebijaksanaan sebenarnya adalah hak milik Islam yang tercicir, oleh itu kita boleh menggunakannya.

7>        Gunakan tatabahasa yang benar dan rasmi

Ini merupakan perkara kecil yang sering diremehkan oleh penulis amateur seperti kita. Kita nampak hal itu tidaklah sangat berpengaruh terhadap pembaca. Namun sebaliknya, tulisan yang memiliki tatabahasa yang kemas akan terlihat lebih professional. Sehingga turut menarik minat pembaca. Ya, walaupun satu ayat pastikan ia ditulis dengan ejaan penuh dan betul. Kecuali jika kita hendak menulis karya bebas seperti novel, cerpen mahupun puisi.

8>        Motivasikan diri sendiri

Yakinlah, anda boleh melakukannya! Menulis tidaklah sukar, namun kita hanya perlu membiasakannya. Kita perlu memotivasikan diri sendiri. Menulis tidak dapat dipaksakan, namun ilham untuk menulis akan muncul dengan tidak diduga. Berdoalah semoga Allah swt memudahkan kita!

Adakah kau lupa? Ilmuwan-ilmuwan Islam zaman silam juga penulis-penulis yang hebat. Imam Bukhari, Imam Syafi’i, Ibnu Sina, al Kindi, al Khawarizmi dan banyak lagi. Dengan hasil tulisan merekalah kita dapat membaca dan mempelajari ilumu-ilmu Islam yang pernah mereka pelajari. Begitulah realitinya, kita menulis sekarang juga demi masa depan agama kita! Masa depan generasi penggerak agama dan bangsa.

Mereka juga telah berjaya mengabadikan sejarah Islam dan menempah sejarah hidup mereka yang gemilang. Kita? Sekaranglah masanya! Kalau tidak dimulakan dari diri sendiri untuk mengorak langkah menuju kegemilangan, siapa lagi?

9>        Sertai bengkel penulisan

Rasanya ini langkah yang paling mustahak untuk kita ambil. Kita dapat menyertai bengkel-bengkel penulisan yang biasanya digelar untuk umum di mana sahaja berada. Atau, kita cuba anjurkan sendiri bengkel penulisan melalui badan-badan organisasi sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat belia-belia kampung kita.

10>      Tanya si ‘Google’

Ini adalah langkah yang paling mudah. Jika anda masih tertanya-tanya bagaimana untuk memulakan menjadi penulis, taip saja di Google. Insyaallah anda akan menemukan jawabannya. Bingung untuk membuat laman blog? Tanya sahaja si dia!

Rasanya itu sahaja tip-tip yang dapat dipertimbangkan untuk memulakan langkah dalam dunia penulisan. Walau apapun, langkah-langkah tersebut masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan.

Apapun, ambillah perkara yang berfaedah dan buang jauh-jauh apa yang buruk. Semoga ia bermanfaat untuk kita semua. Jadikan membaca sebagai jendela ilmu pengetahuan dan menulis sebagai warisan ilmuwan Islam. Semoga tahap pengetahuan kita dapat dipertingkatkan dan bisa mengalahkan si Yahudi laknatullah alaihim.

Selamat menulis!