Powered By Blogger

Wednesday 26 October 2011

Kalam Musafir

Ku tinggalkan mereka…

Pondok itu sudah lusuh. Gemertak seakan bertasbih jika aku memasukinya. Tinggal menunggu masanya bersujud menyembah bumi. Pondok Pesantren Al Anwar. Partikel-partikel kedinginan menerpa kulitku, melalui celah-celah anyaman buluh dindingnya. Sejuk meresap ke dalam sukma. Sesejuk bait-bait Matan Jurumiyah karangan Imam Sonhaji yang terlakar indah dalam ingatan. Detik jam masih menunjukkan pukul 06.40 pagi. Kusandarkan tubuhku pada dinding pondok itu seusai solat Subuh.
            Tirai kegelapan malam telah menyingsing. Perlahan cahaya keemasan mentari merangkak naik. Kehangatannya memecahkan kesejukan embun pagi itu. “Apakah kau sudah yakin dengan keputusanmu itu?” Tanya Hafiy padaku. Dia memecahkan lamunanku pagi itu. Hafiy, pemuda bertubuh tegap dan sasa walau tak setegap Arnold Schweinsteiger. Dia seringkali diberdirikan di depan kelas, hukuman gara-gara tak ingat hafalan kitab seribu bait, Alfiyah Ibnu Malik. Dia merupakan rakan seniorku di madrasah ini. Kini dia di tahun akhir, kelas 5 marhalah Aliyah. Manakala aku masih di kelas 3.
            “Insyaallah ini jalan yang terbaik bagiku,” jawabku singkat. Aku putar kembali memori-memori lama dalam sel-sel otak serebrumku. Sepucuk surat yang dikirim oleh bapa saudaraku dari seberang sana minggu lepas. Mempelawaku untuk menyambung pengajian di Madrasah Ummul Quraa, Mekah al Mukarramah. Sebuah institusi pengajian milik kerajaan Arab Saudi yang telah berjaya melahirkan ribuan ulama kontemporari yang tersebar di serata dunia. Semua biaya pengajian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi.
            “ Cuba kamu tanya pandangan Ustaz Aeman, mungkin beliau bisa memberikan wejangan bagimu.” Kata-kata yang terlontar dari mulut sahabatku, Zulkarnain. Pemuda yang rajin dan pandai. Bertubuh agak kurus dan berjanggut sejumput. Seringkali dia melontarkan idea-idea nakal dan berbau kontroversi, tetapi kali ini cadangannya dapat kupertimbangkan.
            Ku akui, mereka memang acapkali hadir kala ku berduka. Setiap kali ku kesusahan Allah swt gerakkan hati mereka untuk membantuku. Oleh itu, simpulan persahabatan kami laksana untaian tasbih besi. Sampai-sampai jika kami terlambat untuk pergi ke madrasah dan dihukum oleh Unit Disiplin, kami bertiga akan sama-sama merasainya. Menahan malu diberdirikan di depan kelas pelajar-pelajar muslimat. Menahan pedihnya sebatan rotan yang hinggap di telapak tangan. Dan kadang-kadang, dihukum berjalan itik dari lantai bawah sampai ke kelas di tingkat atas. Pagi, mengikuti persekolahan akademik di sekolah agama yang berdiri di bawah satu naungan yayasan ini. Sebelah petang, menghadiri kelas Madrasah Diniyah peringkat Aliyah untuk menelaah dan menyerap ilmu-ilmu agama yang disampaikan oleh ulama-ulama salafy di kota ini.
            Terasa berat hatiku untuk meninggalkan tanah airku ini, Ambon tercinta. Kota di wilayahMaluku , Indonesia yang sering bergolak akibat rusuhan kaum antara umat Islam dan Kristian. Aku bimbang, ibu bapaku sudah uzur dan berusia. Manakala adikku hanya seorang, masih terlalu muda untuk memahami erti kehidupan yang merisaukan ini. Akankah aku meninggalkan mereka di bumi berdarah ini? Sanggupkah aku menahan rasa belas kasihan melihat mereka diseksa oleh pihak Kristian? Dalam kegalauan fikiranku itu, tiba-tiba aku teringat pesanan ayahku, “Islam kini memerlukan pemimpin yang bijaksana. Yang dapat menegakkan kembali panji-panji Islam di atas muka bumi ini. Siapakah pewaris kegagahan Solahuddin Al Ayyubi? Adakah sekarang pemuda yang sebijak Ali? Adakah sekarang pemimpin setegas Umar? Ayah ingin melihat engkau menjadi salah satu calon pengganti mereka. Demi mengembalikan keamanan dan ketenteraman di atas muka bumi ini. Berjuang bersama mengembalikan kejayaan Islam dahulu kala. Ayah ingin engkau pergi berhijrah, bermusafirlah! Pergilah mengutip mutiara-mutiara ilmu sebagaimana pengembaraan Imam Syafii dahulu. Buktikan kepada ayah bahawa kau bisa!”
            Dengan segenap tekad dan kudrat, ku kuatkan langkahku ini menuju ke dermaga pengembaraan. Terbang bersama Qatar Airways, meninggalkan mereka di bumi Maluku ini. Menuju ke tanah Haram, Jazirah Arab, demi mencari redaMu Tuhan. Hari ini, 06 Februari 1996, kali terakhir kutatap senja sore hari yang membuncah di ufuk barat pantai Laut Banda.

Mendung kelabu di Mekah al Mukarramah

            Angin panas padang pasir berhembus lirih. Menerpa daun-daun kurma yang mula menguning. Melambai-lambai lemah kelayuan. 37 darjat celcius. Bacaan thermometer digital pada telefon bimbitku. Aku langkahkan kaki melalui lorong-lorong kecil di antara hotel-hotel pencakar langit. Tinggi menjulang di bumi Quraisy ini. Hotel tertinggi, Mecca Hilton berdiri angkuh di tepi Masjidil Haram. Terpampang jelas di dada Mecca Hilton jam dinding terbesar di dunia. Pukul 11.00 pagi.
            Ummul Quraa terletak agak jauh dari Masjidil Haram. Namun, pihak pentadbir telah menyediakan bas pengangkutan khas untuk para pelajar Ummul Quraa. Ia akan sentiasa berulang-alik setiap kali azan dikumandangkan. Langkahku mulai longlai. Penat memecah kerumunan manusia. Menyelit di antara jutaan Bani Adam yang bertajammu’ di sini. Meski panas mengepung jasad ini dari segenap penjuru, namun seakan ada aura kesejukan yang sentiasa menemaniku selama ini. Kuteruskan ayunan langkah ke Masjidil Haram itu.
            Dalam diam ku bertafakkur sejenak di saf hadapan masjid suci ini. Konsentrasi mencari kekuatan rohani. Menyerap saki-baki semangat perjuangan para Anbiyaa dan sahabat dalam mengaharungi arus kehidupan. Lalu lalang umat Islam dari pelbagai belahan dunia tak ku hiraukan. Hatiku luluh memohon keampunan kepada Yang Maha Esa. Sudah hampir 6 tahun aku terdampar di sini. Terkurung dalam penjara suci. Tanpa khabar, tanpa berita dari tanah air. Meski segala kemudahan gadget elektronik mudah kudapati, namun keluargaku tak dapat menghubungiku. Kekacauan dan peperangan saudara di Ambon menjadi tembok penghalang.
            Ketika senja hampir melabuhkan tirinya di ufuk barat, aku terima sepucuk surat dari Jakarta . Tertulis di situ, Ustaz Aeman, guruku ketika belajar di pondok Al Anwar, Ambon  dahulu. Ustaz Aeman kini tinggal di Jakarta ? Dengan hati dipenuhi kehairanan, antara haru dan tertanya-tanya, kubaca setiap baris ayat-ayat di dalam surat itu. Sehingga akhirnya aku…maaf aku tak sanggup tuk mengungkapkannya. Benarkah kejadian itu berlaku? Bagaimana keadaan keluargaku sekarang? Ke mana mereka menghilang?
            Surat itu hanya membisu. Tak dapat memberiku walau satu jawapan. Ia hanya menyuruhku unruk bersabar. Aku tahu, kini mendung kelabu telah memayungi Mekah al Mukarramah. Walau gerimis hanya mengundang di dalam hati. Surat itu mengatakan, tragedi terbesar yang tercetus di Ambon pada 1999 sehingga akhir tahun ini, 2002 telah mengorbankan 6,000 nyawa dan menyebabkan 700,000 penduduk menjadi pelarian. Fakta ini juga muncul di dada akhbar Al Jazeerah. Sungguh menyakitkan!!! Mengapa ini semua harus terjadi di tanah airku? Akankah aku terus berada di perantauan ini dengan segala kesebakan di dada? Hanya menjadi kalam musafir yang menyaksikan keganasan meragut jasad-jasad kedamaian di Ambon ? Sementara mereka terus berjuang hingga tetes darah terakhir…

Ground Zero, bermulanya sebuah konspirasi

            Pagi itu, mentari mulai menyinari bangunan-bangunan pencakar langit di langit New York , Amerika Syarikat. Tiada apa yang nampak aneh, kecuali 4,000 pekerja Yahudi yang tidak hadir ke pejabat mereka di World Trade Center (WTC). Hari ini, Selasa 11 September 2001 (tragedi 9/11) akan diingati oleh seluruh dunia. Bermulanya sebuah ‘peperangan teori’ antara umat Islam dengan Liberalis Barat.
            Kini, tepat pukul 08.46 pagi. Sebuah pesawat komersial tiba-tiba terbang rendah di langit New York . Menarik perhatian penduduk kota metropolitan itu. Tiba-tiba, pesawat itu merempuh tepat ke arah bangunan WTC!. Tepat di tingkat 109 dan 110. Dunia memerhati. Teori konspirasi kini telah bermula! Dalam masa 12 saat bangunan WTC runtuh sehingga mencecah tanah! 2,819 nyawa melayang. 115, jumlah negara individu yang terkorban. Tetapi, perhatikan! Sungguh aneh, 78 minit selepas pesawat pertama melanggar WTC tiada sebarang kesan pesawat ditemui di situ…

            Kini, genap 15 tahun aku berada di tanah Haram. Hari ini Jumaat, 30 September 2011. Berita tentang kehancuran WTC juga telah sampai kepadaku. Ingatanku masih kuat tentang kejadian itu. Teori konspirasi yang dibuat oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya untuk menghancurkan Islam. Kononnya, jaringan militant Al Qaeda yang melakukan serangan itu. Kononnya, Osama Ben Laden yang mesti bertanggungjawab terhadap semua itu. Mungkinkah orang yang zuhud, hidup di dalam gua dan panasnya padang pasir mampu melakukan serangan yang begitu terancang rapi? Kononnya juga, agama Islam adalah agama pengganas!
            Namun, tidakkah mereka sedar siapa pengganas yang sebenar? Siapakah yang bertanggungjawab terhadap 919,967 orang mangsa perang di Iraq dan Afghanistan akibat perang AS sejak 2001, 26 hari selepas tragedi 9/11? Siapa pula yang mesti bertanggungjawab terhadap 4,700 orang awam yang terbunuh sejak AS mengisytiharkan perang terhadap Pakistan ? Siapa pula yang patut dipersalahkan gara-gara memperkenalkan istilah ‘Islamofobia’, sehingga sebahagian besar orang Barat takut dan benci terhadap Islam dan penganutnya? Jawabannya sudah terlalu jelas. Islamofobia hanya muncul selepas tragedi 9/11. Kitalah mangsa sebenar tragedi 9/11! Kitalah yang mesti menanggung segala bebanan dan tohmahan dari orang-orang Barat yang telah tertipu!
            Dan kini, selepas 15 tahun mengutip ilmu-ilmu yang berserakan di tanah Haram, kerajaan Arab Saudi mengirim diriku, Arsyad dan Hadry, sahabat akrabku di Mekah, untuk melakukan khidmat masyarakat di AS. Aku tidak dapat pulang ke tanah air. Meski rinduku amat mendalam, namun tanggungjawabku untuk bekhidmat kepada masyarakat muslim di AS amat besar. Apatah lagi kini semakin ramai masyarakat Barat yang mulai sedar bahawa tragedi 9/11 merupakan permainan AS dan sekutunya. Satu tinjauan yang dilakukan oleh BBC : The Conspiracy FilesJulai lalu mendapati sebanyak 14% rakyat Britain dan 15% rakyat AS tidak percaya dengan penjelasan rasmi kerajaan bahawa kumpulan militant Al Qaeda bertanggungjawab menjadi dalang serangan 9/11.



Badan Polis Antarabangsa, Interpol

            Kapten pesawat Emirates Airways, Mr. Abdul Harith memberitahu kami bahawa pesawat kini telah berada di langit AS. Dalam hitungan minit kami akan segera tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Fennedy. Terletak di tepi pantai New York . Seperti jangkaanku, sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke pintu ketibaan kami terpaksa menjalani pemeriksaan secara ‘istimewa’ hanya kerana kami bertiga berjanggut. Nama kami juga berbau Arab. Mereka sangka kami terrorist. Langit New York nampak cerah. Meski suhu 16 darjat celcius. Kami segera bertolak ke Ground Zero, tapak serangan 9/11. Jalanan di New York kami susuri dengan bas double decker.
            Petang. Mendung mula memayungi patung Liberty di New York . Salji mula turun rintik-rintik dari celah-celah bangunan pencakar langit AS. Aku berjalan di belakang Arsyad dan Hadry. Jaket tebal hitam membalut tubuhku yang kedinginan. Jantung berdebar tanpa irama yang pasti. “Eh. Cubatengok, ada apa tu?” Tanya Arsyad kepada Hadry. Aku hanya dingin membisu. Sekumpulan orang berkerumun untuk memasuki sebuah kawasan di tengah-tengah kota metropolitan itu. Tulisan “The National September 11th Memorial and Museum” dengan jelas terpampang pada bangunan itu. Ternyata, tapak 9/11 kini telah dijadikan muzium.
            Dalam keasyikan aku memerhati tempat bersejarah itu, tiba-tiba beberapa kereta Baracudadatang berdecit di tepi kami. Interpol! Mereka berpakaian militer warna hitam. Persis yang aku lihat dalam filem ‘Men In Black’. “Don’t move!!! Don’t move….”. Mereka berteriak memberi amaran. Suasana kacau seketika. Dengan kasar mereka memberkas kami secara tiba-tiba. “We know who you are!!!”. “Gawat, kami bukan terrorist!,” cetusku.
            Aku nampak Arsyad memberi perlawanan. Dia berjaya melepaskan diri untuk sejenak. Dua orang Interpol bergelut dengan Arsyad. Dia memang pandai Kick Boxing, jadi tidak hairan dia boleh menandingi polis kuffar itu. Sementara aku cuba sedaya upaya untuk juga melucutkan diri. Aku sempat memberi penumbuk tepat pada muka polis Interpol itu. Tiga orang turut menghajarku. Darah mudaku bergelora. Semangat juang Muhammad al Fateh merasukiku. Ku keluarkan segala jurus yang pernah kupelajari dari guru silatku dahulu. Jurus ‘tendangan tanpa bayangan’ku berjaya menjatuhkan seorang demi seorang polis Interpol itu.
            Sementara Hadry tetap berdiam diri. Dia tak sanggup berbuat apa-apa. M-16 diacungkan tepat di kepalanya! Tiba-tiba…jebbb… “Uurghh…,” sebuah peninju singgah di perutku. Arsyad datang membantuku. Dia melompat terbang dan memberi sepakan padu tepat di dada polis tadi. Rebah! Tersungkur di tanah. “Game over….,” tiba-tiba ada salah seorang dari mereka berkata. Detik masa terhenti. Mataku terbelalak! Ddsshh…. Sebutir peluru mengoyak kulit dadaku. Aliran darah turut terhenti. Bisu. Nafasku tak teratur. “Ziqin…!!!”. Teriakan Hadry memecah angkasa New York . Gelap. Kelopak mataku terkatup. Jasadku tersungkur di atas salji jalanan.
            Tiba-tiba, krrriiingggg….krriiiiingg…..alarm Handphone Sony Ericssonku berdering. Mataku terbelalak. Aku hidup semula? Mengapa aku berada di atas katil? Syurgakah ini? Aku lihat jam di dinding pondok itu, “07.30….gawat ! udah terlambat nih!” secepat kilat aku sambar baju sekolah dan beg yang terletak di atas meja. Aku hanya membasuh muka. Mujur aku sudah solat subuh tadi. Kuselipkan kasut di kaki. Kulihat keluar pondok, sepi! “Semua pelajar sudah pergi!” gumamku. Dengan larian sepantas Usain Bolt aku berkejar ke Madrasah Aliyah Al Anwar. “Aku tak mau terlambat lagi…aku sudah perit dirotan sama guru disiplin, aku tak mau diberberdirikan di depan kelas muslimat lagi… “ hatiku mula resah. Kugunakan jurus ‘langkah kaki seribu’. Ku berlari…berlari dan teruskan berlari.
            Terkunci. Pintu pagar besi ini sudah terkunci. “Argh…!!!” dengan nafas terengah-engah aku cuba menenangkan diri. Tiba-tiba Ezzat dan dengan kawan-kawannya datang menghampiriku. “Hoi… kau mau pergi ke mana, ha?” Ezzat bertanya kepadaku. “Pergi sekolah la…”. Jawabku. “Hahaha…haha…rajin banget kau!” mereka menertawakanku. Aku diam terpaku sejenak. Dengan tidak di duga, otakku mula berfikir, mencari maklumat dan mengolah data setiap apa yang diucapkannya. “Aduh…. Malangnya aku!!! Hari ini hari Jumaat…” langkahku mula longlai.




11.59pm. Jumaat, 30 September 2011

Tuesday 25 October 2011

Tom Yam Goreng

           Mungkin anda sudah tahu, lidah lebih tajam daripada pedang dan mata pena lebih berbahaya daripada peluru berpandu. Tidak perlu saya huraikan panjang lebar maksud frasa tersebut kerana saya yakin bahawa anda pun telah cair tentang makna tersirat yang terkandung di dalamnya. Namun, apakah anda pernah terfikir bahawa betapa kuat usaha kita untuk menjaga lidah namun akhirnya kita tersilap juga? Kita sering menyalahkan atau menertawakan orang lain atas perkataan mereka. Tetapi adakah kita sedar bahawa sekali-sekala kita juga dihukumi fardhu ‘ain untuk menertawakan atau menyalahkan diri sendiri?
            Saya teringat ketika masih beberapa bulan tinggal di Kelantan dahulu. Waktu itu pemahaman saya masih sangat sedikit tentang kosakata bahasa Kelantan. Ya, sama seperti sekarang namun lebih teruk saat awal-awal ke sini dahulu. Saya cuba untuk bercakap dengan hati-hati agar tidak tersilap dan kemudian ditertawakan atau dimarahi oleh orang sini.
            Namun akhirnya, apa yang terjadi? Saat itu hari Jumaat, saya berada di asrama dengan Ryan pada masa itu. Tiba-tiba ada pak cik penjual ikan. Hati saya pun terdetik untuk membeli kemudian memasak ikan. “Pak cik, saya nak beli ikan” pintaku. “Ya dik, nak berapa?” tanyanya dengan loghat Kelantan. “4 butir cik…” jawapku dengan selamba.
            Selepas kejadian itu, saya merasa harus lebih berhati-hati lagi dalam bercakap. Tak kan kita mahu masuk ke dalam lubang yang sama untuk kedua kalinya! Dari semasa ke semasa nampaknya penguasaan bahasa Kelantan saya berjalan dengan agak bergaya. Namun kejadian yang tidak diingini kembali terjadi. Kali ini kesalahan dalam penulisan bahasa Melayu, mata pena. Ketika mendapat tugas unutk menyiapkan projek Prinsip Perakaunan SPM saya tulis pada bahagian muka depan kertas projek saya maklumat-maklumat lengkap tentang projek ini. Termasuk nama guru perempuan mata pelajaran ini, guru muda yang masih belum berkahwin lagi. Saya taip di situ, Nama Guru : Puan Amyliana… Ketika saya serahkan tugasan saya kepada beliau, tulisan tersebut langsung terbaca olehnya. Tiba-tiba saya lihat beliau nampak geram, entah marah ataupun berasa lucu dengan gelaran ‘puan’ yang saya berikan tersebut.  Hatiku menertawakan diriku sendiri, diiringi dengan gelak tawa teman-teman sekelas.
            Nampaknya, memang benar apa yang dikatakan oleh orang-orang dahulu, orang yang banyak menguasai bahasa adalah orang yang bijaksana. Orang yang tidak pandai berbahasa akan ditertawakan sama ada oleh diri sendiri mahupun oleh orang lain. Sebagaimana peristiwa yang terjadi baru-baru ini. Saat itu saya diminta tolong oleh ustaz saya untuk pergi ke kedai membeli kwe tiau goreng. Ada tetamu jemputan di sekolah Al Ulum. Entah fikiran saya terlalu kalut atau gopoh, tiba-tiba saya tersilap cakap, “Pak cik, tom yam goreng 4 bungkus!” pinta saya kepada penjual. “Apa dik? Tom yam 4 bungkus?” mungkin dia berasa hairan dengan ucapanku tadi, mana ada tom yam goreng! Jadi dia tanya balik begitu. Selepas lama menunggu, penjual tersebut memberikan kepada saya 4 bungkus sup tom yam. Dengan bibir yang terkedu dan mata sayu seakan tidak percaya, saya baru sedar bahawa saya tersilap cakap. Bukan tom yam goreng tetapi kwe tiau goreng yang saya cari! Astaghfirullah… RM18 tiba-tiba ‘terbang’ dari poketku, habis duit dengan sia-sia. Tak kan saya dengan Ryan makan 4 bungkus sup tom yam!
            Begitulah manusia, tidak pernah terlepas daripada salah dan lupa. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga, sepandai-pandai manusia bercakap akhirnya tersilap jua. Ingat, mulutmu harimaumu. Yang akan menerkam kamu pada bila-bila masa!

Cintaku Tertinggal di Kelantan


            Langit lazuardi di angkasa Sepang masih muram. Kilat-kilat kecil saling menyambar di celah-celah pintalan awan hitam. Gemuruh. Membuatku kecut perut. Namun burung besi Garuda Indonesia Airlines masih gagah memecah benteng sekawanan awan kelabu itu. Akupun asyik termenung di dalam kabin pesawat buatan Amerika Syarikat itu. Pesawat jenis Boeing-064. Kuperhatikan setiap titis rahmat Allah yang jatuh membasahi bumi Harimau Malaya dari tingkap ‘seat A-04’.

            Lambaian tangan sahabat-sahabatku di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) tadi masih membayangi ingatan. Pengembaraan ilmuku telah ternoktah di sini. Setelah memperoleh segulung ijazah aku terpaksa pulang ke tanah air. Mungkin itu kali terakhir kutatap raut wajah mereka. Terasa juga kegundahan bertamu dalam ruang hati. Betapa cepatnya masa berputar.

            Sehingga aku teringat teori relativiti masa yang pernah diungkap oleh Albert Einstein. Sebelum itu, manusia tidak mengetahui bahawa masa adalah satu konsep yang bersifat relatif dan ia boleh berubah mengikut persekitaran. Einstein menyatakan, masa adalah bebas dari jisim dan halaju. Einstein sendiri juga menyatakan, seperti yang dipetik daripada buku Barnett: Ruang dan masa adalah intuisi, yang tidak dapat dipisahkan daripada kesedaran seperti konsep kita terhadap warna, bentuk, atau saiz. Menurut Teori Asas Relatif: "Masa tidak mempunyai kewujudan tetap yang terpisah daripada aturan peristiwa oleh apa yang kita gelar ukuran".

Yang aku faham, masa dipengaruhi oleh suatu tempat atau pergerakan manusia itu sendiri. Kehidupan di dalam hutan, secara umumnya akan terasa lebih lama kerana semua kerja dilakukan secara manual dan tanpa bantuan teknologi mutakhir. Manakala kehidupan di bandar yang menuntut semua pekerjaan dilaksanakan dengan cepat dan instant, kita akan merasa masa juga akan bergerak lebih cepat. Begitu juga perbezaan masa di dunia dan di akhirat kelak.

Namun hati kecilku menolak bahawa Albert Einstein merupakan orang pertama yang menemukan teori ini. Bukankah pada 1400 tahun yang lalu al Quran telah lebih dahulu menyebut teori relativiti masa ini di dalam ayat-ayatnya? Sebagaimana firman Allah swt, Dan (Ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima alasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia.” (surah Yunus:45). Allah swt juga berfirman di dalam ayat yang lain, Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): "Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?" Mereka menjawab: kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). (surah Al-Mukminun:112-114).

“Your attention please! Sila pasang tali keledar anda kerana penerbangan kita akan mengalami sedikit gangguan tidak lama lagi,” suara pramugari pesawat ini mengejutkanku dari khayalan. Terasa goncangan mengepung sebaik saja pesawat menembusi sekumpulan awan gelap.

            Aku tersenyum sendirian. Bukan, aku bukan orang yang kurang waras! Tiba-tiba saja sel-sel di dalam otakku bergerak laju melalui saraf-saraf fikiran untuk mencari memoriku yang terpendam di negeri ‘Cik Siti Wan Kembang’ dahulu. Negeri yang terletak berhampiran dengan sempadan Pattani di Thailand. Benar, Kelantan Darul Naim. Negeri yang berpagar syariah, satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia yang dipimpin oleh seorang Ulama’, Tuan Guru Abdul Aziz Nik Mat. Seakan masih ada sesuatu yang membekas di sanubari. Mungkinkah ada ‘rinduku’ yang tertinggal di sana? Aku semakin keliru. Tersenyum seorang diri.

            Aku teringat ‘dia’. Aku tahu bahawa aku tak tahu siapa dia sebenarnya. Dia seperti perempuan muslimat yang lain di negeri Kelantan. Yang kata orang-orang Melayu, kaum Hawa muslimat di Kelantan merupakan yang tercantik di satu Malaysia ini. Betulkah? Yang kutahu, dia menepati kriteria yang aku dengar itu. Memakai tudung labuh dan berbaju kurung, sungguh indah dan anggun jika kaum Hawa bisa menjaga auratnya! Remaja muslimat yang hidup dalam keizzahan auranya yang tersendiri.

            Aku hanya sekali bertemu dengannya. Yang pertama dan yang terakhir, tiga bulan lepas, aku bertemu dengannya di KB Mall saat aku sedang membeli buku Panduan Untuk Pengurus dan Setiausaha, karya Samsudin Wahab, di kedai buku SMO. Dia berjalan bersama dua orang sahabatnya. Tiba-tiba dompetnya terjatuh sebaik saja dia selesai membayar buku di kaunter pembayaran. Secara spontan aku yang beratur agak jauh di belakangnya menegur, “Awak…!” dia berpaling. Aku terkesima. Entah sesuatu apa yang merasukiku. Aku yakin dia bukan bidadari, tapi dia sungguh anggun. Darahku bergerak pantas di dalam saluran arteri dan vena. Aku terdiam seribu bahasa. Seluruh saraf-saraf motorikku kaku. Tiada impuls dan respons yang kuterima dalam sistem saraf pusatku. Langkahku terpaku di situ. “Terima kasih…” suara lirih dan sopan yang dia ucapkan tanpa memandang wajahku. Dua patah perkataan yang masih segar dalam kamar hatiku sehingga ke saat ini. Dia pungut dompetnya dan cepat-cepat dia berlari kecil meluru ke arah dua orang sahabatnya. Aku nampak garis senyuman manis terukir kecil tersembunyi di wajah ayunya. Aku tenggelam dilamun gelombang kasmaran. Hanya bayangan tudung labuhnya yang sempat terakam oleh retinaku. Namun auranya masih tetap bisa menakluki alam bawah sedarku.

            Aku tak mahu dikatakan hipokrit, atau berselindung di sebalik tabir kontroversi murahan. Aku sedar ini lumrah kaum Adam sepertiku untuk tertarik dengan kaum Hawa. Apatah lagi dia juga sangat mempesona. Tapi, hati kecilku juga tahu bahawa perjalananku untuk menggapai cita-cita masih terlalu jauh. Tanggung jawab sebagai remaja muslim masih kupegang erat. Aku hanya diam. Jika benar aku kini sedang jatuh cinta, aku cukup mencintainya dalam diam. Kerana aku yakin diamku adalah salah satu bukti cintaku padanya. Aku ingin memuliakannya, dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang. Aku tak sanggup merosak kesucian dan kemuliaan peribadinya.

            Aku hanya diam. Kerana diamku, bisa memuliakan kesucian hati dan diriku. Menghindarkan diriku dari hal-hal yang akan merosak keizzahan dan maruah diriku. Dalam diamku juga, terdapat bukti kesetiaanku padanya. Kerana mungkin saja dia adalah orang yang telah Allah pilihkan untukku. Semua keputusan berada di dalam kekuasaan-Nya. Kun Fayakuun…! Aku teringat kisah Sayidatina Fatimah R.A dan Sayidina Ali Karramallahu wajhah. Mereka berdua saling memendam apa yang mereka rasakan. Mereka berdua tidak mengetahui isi hati yang lain, meski sama-sama tumbuh bunga-bunga cinta dalam taman hati mereka. Namun pada akhirnya mereka dipertemukan dalam ikatan yang suci nan indah.

            Aku hanya diam. Kerana mungkin di dalam diamku tersimpan kekuatan. Kekuatan dalam menjayakan setiap harapan. Hingga mungkin saja Allah merungkai setiap harapan itu menjadi mimpi yang nyata. Dan akhirnya cinta dalam diamku itu dapat berbicara dalam alam realiti ini.



            Namun aku juga patut tahu… andai cinta dalam diamku itu tak memiliki kesempatan untuk berbicara di dunia nyata ini, aku akan terus membiarkannya diam. Takkan pernah kuungkap kepadanya andai tanpa jalinan suci. Diam tanpa kata, membisukan kosakata pelbagai bahasa. Kerana, jika dia memang bukan milikku, dengan izin Allah, harapan yang kusemat melalui relativiti masa berhasil menghapus cinta dalam diamku itu, dengan memberi rasa yang lebih indah.

            Kan kubiarkan cinta dalam diamku itu menjadi bait-bait syair kerinduan yang menggema hanya di relung hati. Tersusun indah menjadi kenangan dalam otak serebrumku. Dan sudut hatiku akan tetap menjadi rahasia antara aku dan Sang Penguasa hatiku ini. Kerana aku yakin, Allah akan memberikan ganti yang lebih baik lagi atau mewujudkan mimpiku di kemudian hari. Aku akan terus bersabar dalam diamku.

            “Kenapa aku ni?” dalam tak sedar ku dikepung oleh madah-madah kasmaran yang pernah aku baca di majalah online I Luv Islam itu. Sungguh indah! Ia menyatu dan bertindak balas begitu cepat dengan formula kisah cintaku yang tertinggal di negeri ‘Cik Siti Wan Kembang’. Menghasilkan satu konklusi yang cukup bernas bagi seorang pemuda sepertiku. Aku rasa hipotesisku tentang kisah cintaku ini bisa diterima. “Ada benarnya juga apa yang aku fikir tadi… Cinta dalam diam, akan tetap indah selamanya.. Aishiteru!” ucapku lirih menenangkan perasaan sendiri.

            Sementara itu, birunya Samudera Indonesia semakin ke penghujungnya. Sebelum pulang ke Surabaya, aku akan singgah beberapa minggu di Jakarta untuk urusan ‘makan angin’. Kali pertama dan terakhir kalinya, aku menjejakkan kaki di Ibukota Indonesia ini ketika masih berusia 5 tahun dahulu. Kini, kota metropolitan ini semakin pesat dan maju. Dengan purata 7 juta penduduk akan memadati setiap sudut kota ini di siang hari. Manakala ketika malam melabuhkan kegelapannya, ia akan berkurang menjadi 3 juta orang ‘saja’ di kota terbesar di Indonesia ini.

            Menara Monumen Nasional (MONAS) menjulang, bangunan setinggi128.70 meter ini dibangun pada era Presiden Sukarno. Yang menarik, di bahagian puncak terdapat cawan yang di atasnya terdapat lidah api dari perunggu (gangsa) yang tingginya 17 meter dan diameter 6 meter dengan berat 14,5 tan. Lidah api ini dilapisi emas seberat 45 kg. Lidah api Monas terdiri atas 77 bagian yang disatukan. Manakala keagungan Masjid Istiqlal juga nampak megah saat kuintai dari angkasa raya kota Jakarta. “Perhatian, kepada semua penumpang Garuda Indonesia Airlines dengan nomer penerbangan AC-92 anda kini sudah sampai di Bandara Internasional Soekarno-Hatta. Jam sekarang ialah pukul 7 malam Waktu Indonesia Barat, kurang satu jam daripada waktu Malaysia. Kami ucapkan selamat datang ke Jakarta, Indonesia. Selamat menikmati liburan anda di negara ini. Sekian, terima kasih karena telah terbang bersama kami. Sampai jumpa lagi dan wassalam.” Aku langkahkan kaki dan kuhirup sedalam-dalamnya partikel-partikel oksigen kerinduan pada tanah tempat tumpahnya darahku ini.