Powered By Blogger

Monday 17 June 2013

Sekilas tentang Pluralisme



Isu pluralisme mula mendapat perhatian sejak Majlis Ulama Indonesia (MUI), pada 29 Julai 2005, menerusi Musyawarah Nasional VII organisasi berkenaan, mengeluarkan fatwa menghukum haram pluralisme, liberalisme dan sekularisme.

Sejak fatwa itu ditetapkan, tiada hari tanpa cacian dan hujatan terhadap MUI. Antaranya daripada coordinator Jaringan Islam Liberal (JIL), Ulil Abshar Abdalla, menyatakan, bahawa fatwa MUI itu konyol dan bodoh. Setelah ucapan Ulil itu mendapat kecaman keras daripada pelbagai pihak, Ulil akhirnya meminta maaf.

Atas dasar itulah pihak pendokong pluralisme cuba memberi penjelasan kepada khalayak umum tentang apakah pluralisme itu? Manakala pihak yang 'berseberangan' ideologi pula, mereka juga berusaha sekuat tenaga untuk mengimbangi serangan-serangan pluralisme tersebut, dengan mendedahkan bahaya-bahaya pluralisme. Sama ada melalui dialog terbuka, antara JIL dengan golongan Nahdhatul Ulama sebagai contohnya (pada tahun 2009 di Surabaya). Ataupun melalui penerbitan bahan-bahan bacaan. Dan di antaranya yang dapat ditemui di Maktabah Darul Quran ialah :

Ø  Islam dan Pluralisme (Middle-Eastern Graduates Centre, 2006)
Secara kasarnya buku ini memang mendokong pluralisme. Ia menghimpunkan artikel-artikel berkenaan penjelasan tentang pluralisme dari kacamata pelbagai pihak, antaranya Nurcholis Madjid, Asghar Ali Engineer, Suratno, Reza Shah-Kazemi, John Hick dan Hans Kung.

Ø  Islam dan Pluralisme, Akhlak al Quran Menyikapi Perbedaan (Serambi Ilmu Semesta, 2006)
      Apakah hanya Islam agama yang diterima oleh Allah? Lantas, mengapa Allah menciptakan agama yang pelbagai? Apa tujuan penciptaan pelbagai agama itu? Buku ini cuba mencari jawabannya dalam al Quran. Penulis mendedahkan makna sejati Islam dan agama, mengungkap semangat firman Allah dalam memandang agama lain serta merumuskan bagaimana kita beriman secara autentik di tengah plurality kebenaran itu.
 
Ø  Islam Liberal, Pluralisme Agama dan Diabolisme Intelektual (Institute for the Study of Islamic Thought & Civilization, 2005)
Buku susunan Adian Husaini ini terdiri daripada 3 bahagian. Dan antara tajuk-tajuk yang menarik ialah : Liberalisasi : Tantangan Bagi Peradaban Islam, Tokoh Katolik Franz Magnis pun Menolak Pluralisme Agama, al Attas dan al Qaradhawi Mengenai Islam dan Sekularisme : Jawaban Tegas Dua Ilmuwan Islam Kontemporer dan Pluralisme, Klaim Kebenaran yang Berbahaya.

Membaca penjelasan dan keterangan tentang pluralisme dari sudut pandang kedua-dua belah pihak (yang pro & kontra) amatlah penting. Ini demi memberikan gambaran yang lebih jelas dan adil tentang isu tersebut. “Sesungguhnya telah jelas (perbedaan) antara yang benar dan yang salah” (QS 2:256).

Jika ada yang berkata bahawa membaca buku-buku seperti ini bisa mencelarukan pemikiran, bisa menggoyahkan iman, maka akan timbul beberapa persoalan lain. Antaranya, mengapa takut pemikiran ataupun iman kita akan goyah sekiranya kita berada di pihak yang (kita yakini) benar? Bukankah telah nyata antara yang hak dan yang batil? Kalau kita (agamawan, Huffaazul Quran) sentiasa lari daripada mengambil tahu isu-isu sebegini maka kepada siapa masyarakat di luar sana akan mencari rujukan? Dakwah kita marcapada ini sangatlah kompleks, bukan sekedar isu thiqah, ikhtilat dan baitul muslim saja. Kita mesti sentiasa meng-up grade ‘senjata’ kita sama ada yang internal mahupun external bagi menghadapi cabaran ini.
  
Dan sebagai jalan tengah dalam mendepani isu ini, kami mengutip ucapan KH Abdullah Syamsul Arifin (wakil Nahdhatul Ulama) dalam dialog terbuka antara JIL dan NU : “Bagi kami Islam adalah satu-satunya agama yang benar, tetapi keyakinan kami (dalam meyakini Islam adalah satu-satunya agama yang benar) tidak menutup kami untuk bertoleransi, untuk bergaul secara baik, untuk berkomunikasi dalam masalah-masalah keduniaan dan  untuk menghargai pendapat orang lain (orang bukan Islam) yang mereka juga punya keyakinan bahawa agama mereka adalah agama yang paling benar menurut mereka. Tetapi kita tidak sampai kepada had membenarkan keyakinan mereka.”

No comments:

Post a Comment