Powered By Blogger

Tuesday 25 October 2011

Cintaku Tertinggal di Kelantan


            Langit lazuardi di angkasa Sepang masih muram. Kilat-kilat kecil saling menyambar di celah-celah pintalan awan hitam. Gemuruh. Membuatku kecut perut. Namun burung besi Garuda Indonesia Airlines masih gagah memecah benteng sekawanan awan kelabu itu. Akupun asyik termenung di dalam kabin pesawat buatan Amerika Syarikat itu. Pesawat jenis Boeing-064. Kuperhatikan setiap titis rahmat Allah yang jatuh membasahi bumi Harimau Malaya dari tingkap ‘seat A-04’.

            Lambaian tangan sahabat-sahabatku di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) tadi masih membayangi ingatan. Pengembaraan ilmuku telah ternoktah di sini. Setelah memperoleh segulung ijazah aku terpaksa pulang ke tanah air. Mungkin itu kali terakhir kutatap raut wajah mereka. Terasa juga kegundahan bertamu dalam ruang hati. Betapa cepatnya masa berputar.

            Sehingga aku teringat teori relativiti masa yang pernah diungkap oleh Albert Einstein. Sebelum itu, manusia tidak mengetahui bahawa masa adalah satu konsep yang bersifat relatif dan ia boleh berubah mengikut persekitaran. Einstein menyatakan, masa adalah bebas dari jisim dan halaju. Einstein sendiri juga menyatakan, seperti yang dipetik daripada buku Barnett: Ruang dan masa adalah intuisi, yang tidak dapat dipisahkan daripada kesedaran seperti konsep kita terhadap warna, bentuk, atau saiz. Menurut Teori Asas Relatif: "Masa tidak mempunyai kewujudan tetap yang terpisah daripada aturan peristiwa oleh apa yang kita gelar ukuran".

Yang aku faham, masa dipengaruhi oleh suatu tempat atau pergerakan manusia itu sendiri. Kehidupan di dalam hutan, secara umumnya akan terasa lebih lama kerana semua kerja dilakukan secara manual dan tanpa bantuan teknologi mutakhir. Manakala kehidupan di bandar yang menuntut semua pekerjaan dilaksanakan dengan cepat dan instant, kita akan merasa masa juga akan bergerak lebih cepat. Begitu juga perbezaan masa di dunia dan di akhirat kelak.

Namun hati kecilku menolak bahawa Albert Einstein merupakan orang pertama yang menemukan teori ini. Bukankah pada 1400 tahun yang lalu al Quran telah lebih dahulu menyebut teori relativiti masa ini di dalam ayat-ayatnya? Sebagaimana firman Allah swt, Dan (Ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima alasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia.” (surah Yunus:45). Allah swt juga berfirman di dalam ayat yang lain, Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): "Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?" Mereka menjawab: kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). (surah Al-Mukminun:112-114).

“Your attention please! Sila pasang tali keledar anda kerana penerbangan kita akan mengalami sedikit gangguan tidak lama lagi,” suara pramugari pesawat ini mengejutkanku dari khayalan. Terasa goncangan mengepung sebaik saja pesawat menembusi sekumpulan awan gelap.

            Aku tersenyum sendirian. Bukan, aku bukan orang yang kurang waras! Tiba-tiba saja sel-sel di dalam otakku bergerak laju melalui saraf-saraf fikiran untuk mencari memoriku yang terpendam di negeri ‘Cik Siti Wan Kembang’ dahulu. Negeri yang terletak berhampiran dengan sempadan Pattani di Thailand. Benar, Kelantan Darul Naim. Negeri yang berpagar syariah, satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia yang dipimpin oleh seorang Ulama’, Tuan Guru Abdul Aziz Nik Mat. Seakan masih ada sesuatu yang membekas di sanubari. Mungkinkah ada ‘rinduku’ yang tertinggal di sana? Aku semakin keliru. Tersenyum seorang diri.

            Aku teringat ‘dia’. Aku tahu bahawa aku tak tahu siapa dia sebenarnya. Dia seperti perempuan muslimat yang lain di negeri Kelantan. Yang kata orang-orang Melayu, kaum Hawa muslimat di Kelantan merupakan yang tercantik di satu Malaysia ini. Betulkah? Yang kutahu, dia menepati kriteria yang aku dengar itu. Memakai tudung labuh dan berbaju kurung, sungguh indah dan anggun jika kaum Hawa bisa menjaga auratnya! Remaja muslimat yang hidup dalam keizzahan auranya yang tersendiri.

            Aku hanya sekali bertemu dengannya. Yang pertama dan yang terakhir, tiga bulan lepas, aku bertemu dengannya di KB Mall saat aku sedang membeli buku Panduan Untuk Pengurus dan Setiausaha, karya Samsudin Wahab, di kedai buku SMO. Dia berjalan bersama dua orang sahabatnya. Tiba-tiba dompetnya terjatuh sebaik saja dia selesai membayar buku di kaunter pembayaran. Secara spontan aku yang beratur agak jauh di belakangnya menegur, “Awak…!” dia berpaling. Aku terkesima. Entah sesuatu apa yang merasukiku. Aku yakin dia bukan bidadari, tapi dia sungguh anggun. Darahku bergerak pantas di dalam saluran arteri dan vena. Aku terdiam seribu bahasa. Seluruh saraf-saraf motorikku kaku. Tiada impuls dan respons yang kuterima dalam sistem saraf pusatku. Langkahku terpaku di situ. “Terima kasih…” suara lirih dan sopan yang dia ucapkan tanpa memandang wajahku. Dua patah perkataan yang masih segar dalam kamar hatiku sehingga ke saat ini. Dia pungut dompetnya dan cepat-cepat dia berlari kecil meluru ke arah dua orang sahabatnya. Aku nampak garis senyuman manis terukir kecil tersembunyi di wajah ayunya. Aku tenggelam dilamun gelombang kasmaran. Hanya bayangan tudung labuhnya yang sempat terakam oleh retinaku. Namun auranya masih tetap bisa menakluki alam bawah sedarku.

            Aku tak mahu dikatakan hipokrit, atau berselindung di sebalik tabir kontroversi murahan. Aku sedar ini lumrah kaum Adam sepertiku untuk tertarik dengan kaum Hawa. Apatah lagi dia juga sangat mempesona. Tapi, hati kecilku juga tahu bahawa perjalananku untuk menggapai cita-cita masih terlalu jauh. Tanggung jawab sebagai remaja muslim masih kupegang erat. Aku hanya diam. Jika benar aku kini sedang jatuh cinta, aku cukup mencintainya dalam diam. Kerana aku yakin diamku adalah salah satu bukti cintaku padanya. Aku ingin memuliakannya, dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang. Aku tak sanggup merosak kesucian dan kemuliaan peribadinya.

            Aku hanya diam. Kerana diamku, bisa memuliakan kesucian hati dan diriku. Menghindarkan diriku dari hal-hal yang akan merosak keizzahan dan maruah diriku. Dalam diamku juga, terdapat bukti kesetiaanku padanya. Kerana mungkin saja dia adalah orang yang telah Allah pilihkan untukku. Semua keputusan berada di dalam kekuasaan-Nya. Kun Fayakuun…! Aku teringat kisah Sayidatina Fatimah R.A dan Sayidina Ali Karramallahu wajhah. Mereka berdua saling memendam apa yang mereka rasakan. Mereka berdua tidak mengetahui isi hati yang lain, meski sama-sama tumbuh bunga-bunga cinta dalam taman hati mereka. Namun pada akhirnya mereka dipertemukan dalam ikatan yang suci nan indah.

            Aku hanya diam. Kerana mungkin di dalam diamku tersimpan kekuatan. Kekuatan dalam menjayakan setiap harapan. Hingga mungkin saja Allah merungkai setiap harapan itu menjadi mimpi yang nyata. Dan akhirnya cinta dalam diamku itu dapat berbicara dalam alam realiti ini.



            Namun aku juga patut tahu… andai cinta dalam diamku itu tak memiliki kesempatan untuk berbicara di dunia nyata ini, aku akan terus membiarkannya diam. Takkan pernah kuungkap kepadanya andai tanpa jalinan suci. Diam tanpa kata, membisukan kosakata pelbagai bahasa. Kerana, jika dia memang bukan milikku, dengan izin Allah, harapan yang kusemat melalui relativiti masa berhasil menghapus cinta dalam diamku itu, dengan memberi rasa yang lebih indah.

            Kan kubiarkan cinta dalam diamku itu menjadi bait-bait syair kerinduan yang menggema hanya di relung hati. Tersusun indah menjadi kenangan dalam otak serebrumku. Dan sudut hatiku akan tetap menjadi rahasia antara aku dan Sang Penguasa hatiku ini. Kerana aku yakin, Allah akan memberikan ganti yang lebih baik lagi atau mewujudkan mimpiku di kemudian hari. Aku akan terus bersabar dalam diamku.

            “Kenapa aku ni?” dalam tak sedar ku dikepung oleh madah-madah kasmaran yang pernah aku baca di majalah online I Luv Islam itu. Sungguh indah! Ia menyatu dan bertindak balas begitu cepat dengan formula kisah cintaku yang tertinggal di negeri ‘Cik Siti Wan Kembang’. Menghasilkan satu konklusi yang cukup bernas bagi seorang pemuda sepertiku. Aku rasa hipotesisku tentang kisah cintaku ini bisa diterima. “Ada benarnya juga apa yang aku fikir tadi… Cinta dalam diam, akan tetap indah selamanya.. Aishiteru!” ucapku lirih menenangkan perasaan sendiri.

            Sementara itu, birunya Samudera Indonesia semakin ke penghujungnya. Sebelum pulang ke Surabaya, aku akan singgah beberapa minggu di Jakarta untuk urusan ‘makan angin’. Kali pertama dan terakhir kalinya, aku menjejakkan kaki di Ibukota Indonesia ini ketika masih berusia 5 tahun dahulu. Kini, kota metropolitan ini semakin pesat dan maju. Dengan purata 7 juta penduduk akan memadati setiap sudut kota ini di siang hari. Manakala ketika malam melabuhkan kegelapannya, ia akan berkurang menjadi 3 juta orang ‘saja’ di kota terbesar di Indonesia ini.

            Menara Monumen Nasional (MONAS) menjulang, bangunan setinggi128.70 meter ini dibangun pada era Presiden Sukarno. Yang menarik, di bahagian puncak terdapat cawan yang di atasnya terdapat lidah api dari perunggu (gangsa) yang tingginya 17 meter dan diameter 6 meter dengan berat 14,5 tan. Lidah api ini dilapisi emas seberat 45 kg. Lidah api Monas terdiri atas 77 bagian yang disatukan. Manakala keagungan Masjid Istiqlal juga nampak megah saat kuintai dari angkasa raya kota Jakarta. “Perhatian, kepada semua penumpang Garuda Indonesia Airlines dengan nomer penerbangan AC-92 anda kini sudah sampai di Bandara Internasional Soekarno-Hatta. Jam sekarang ialah pukul 7 malam Waktu Indonesia Barat, kurang satu jam daripada waktu Malaysia. Kami ucapkan selamat datang ke Jakarta, Indonesia. Selamat menikmati liburan anda di negara ini. Sekian, terima kasih karena telah terbang bersama kami. Sampai jumpa lagi dan wassalam.” Aku langkahkan kaki dan kuhirup sedalam-dalamnya partikel-partikel oksigen kerinduan pada tanah tempat tumpahnya darahku ini.


No comments:

Post a Comment