Powered By Blogger

Monday, 26 December 2011

Bicara Cinta


Alhamdulillah, lega rasanya tangan ini dapat kembali mengukir luahan kata yang terpendam. Menjengah kembali dunia siber bersama coretan ringkas ini, Bicara Cinta. Tajuk yang terlalu besar untuk dibahas dan menyimpan seribu satu misteri.

Tetapi maaf, saya bukan Ustaz Cinta yang akan merungkai fenomena cinta ini secara terperinci. Saya juga bukan Ahmad Dani, vocalist group band Dewa yang bercita-cita untuk memimpin Republik Cinta. Dan juga bukan anggota band Zivilia yang asyik menyanyikan lagu Aishiteru. Saya tetap saya. Manusia biasa yang punya pengalaman unik tentang cinta. Semoga sama-sama kita dapat mengambil iktibar darinya.

Cinta (love) diertikan sebagai a strong feeling that you have when you like somebody / something very much. Begitulah definisi cinta menurut New Oxford English-English-Malay Dictionary 2nd Edition. Dalam kesempatan yang singkat ini saya tak perlu menjelaskan definisinya menurut Kamus Arab, Indonesia, mahupun Kamus Dewan. Anda dapat merujuknya sendiri, saya tiada ketiga-tiga kamus tersebut.

Dahulu kala, ketika itu saya masih kanak-kanak lagi. Kalau tidak salah baru berumur 9 tahun. Adalah di kelas tempat saya sekolah seorang murid perempuan yang menjadi idaman setiap murid lelaki. Pacarnya hanya seorang. Itu baru yang ‘berdaftar’ dan berjaya ‘mengisi borang percintaan’ dengannya. Sementara murid lelaki yang lain masih banyak lagi yang ‘beratur’ merebut hatinya.

Kalau dikata perempuan tadi itu cantik, mungkin begitulah. Dia pun memang baik, pandai berkawan. Dia akan belanja apa sahaja untuk kekasihnya. Maklumlah dia anak orang kaya! Mungkin kerana harta itulah banyak teman-teman lelaki yang berlumba-lumba menawan hatinya.

Singkat cerita, bila telah sampai masa dia selesai sekolah menengah (kira-kira umur 18 tahun), dia kerap kali bertukar kekasih. Mudah bosan agaknya, orang kata cinta monyet.

Tetapi akhirnya, baru-baru ini saya dapat khabar bahawa dia telah menikah! Terkejut hati saya, baru 18 tahun sudah menikah? Saya pun tertanya-tanya, dengan siapa dia menikah? Suaminya-lah! Memang, tetapi tahukah anda? Suaminya bukanlah orang yang pernah dia kenal, apalagi sebagai kekasih zaman sekolahnya dahulu! Saya pun berasa kasihan dengan teman-teman lelaki saya yang pernah menjadi kekasihnya dahulu. Bercinta hanya untuk kepuasan nafsu semata, bukan untuk menegakkan sunnah Nabi Muhammad saw.

Begitulah takdir perempuan tadi, menikah dengan seorang lelaki pilihan ibu bapanya sendiri. Memandangkan dia sudah enggan melanjutkan pelajaran jadi lebih baik begitu. Saya salut kepadanya. Ya, sebagai seorang sahabat saya turut bahagia dengan pernikahannya. Bersanding dengan lelaki yang lebih soleh pilihan keluarga, daripada menghabiskan masa muda dengan sesuatu yang tidak berfaedah seperti ‘couple’ itu.

Daripada dia terjerumus dalam lembah kehancuran, lebih baik dia memilih jalan itu. Walaupun pacar ramai, dia tetap dapat menjaga ‘kehormatannya’. (Yang maksiat-maksiat lain itu memanglah salah, tetapi setidaknya dia masih diberi peluang oleh Allah swt untuk lari dari musibah zina, na’udzubillah!). Semoga bahtera keluarga yang dia bina berkekalan hingga ke syurga, Amin!

Bagaimana kawan? Itulah cinta zaman remaja! Ada orang bilang “cinta itu ibarat kentut, jika diluahkan akan bikin rebut, jika didiamkan akan bikin sakit perut”. Bukankah lebih baik cinta itu didiamkan? ‘Sakit’ itu hanya sementara, berbanding dengan hilangnya maruah diri apabila ia ‘bikin ribut’ gara-gara diungkapkan bukan pada masa dan tempat yang sesuai!

15.58 Padang Embun
Ahad, 25 December 2011

No comments:

Post a Comment