Powered By Blogger

Friday 2 December 2011

Menulis? Mengapa tidak?

Menulis merupakan salah satu pelajaran asas yang telah kita pelajari sejak dari kecil lagi. Bermula dari huruf per huruf, kata per kata, ayat per ayat, sehingga terbentuklah untaian ayat yang menyusun suatu perenggan. Dari suatu perenggan itulah, kita dapat menyampaikan mesej ataupun corak pemikiran kita untuk difahami oleh orang lain. Ya, sebenarnya kita mengajak orang lain berkomunikasi melalui tulisan kita. Bahkan kita dapat mempengaruhi kotak pemikiran mereka melalui tulisan kita! Walau secara kebiasaannya, kita lebih terbiasa berkomunikasi melalui pancaindera, bukan jari-jemari.

Selain itu, tahukah anda mengapa orang Yahudi laknatullah alaihim kelihatan lebih maju dan pandai berbanding kita, umat Islam yang digelar sebagai ‘Khairu ummah’? Salah satunya ialah mereka lebih terkehadapan dan inovatif dalam bidang pendidikan dan penulisan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap 1,000,000 orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat atau tidak. Di Pakistan, contoh sebuah negara Islam, hanya ada 23 surat khabar harian per 1,000 rakyatnya. Sementara nisbah di Singapura ialah 360 per 1,000 rakyatnya. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir hanya 20. (sumber : Palestin Tak Pernah Gentar!, Telaga Biru : 2009)

Masih terlalu banyak rahsia-rahsia dan kepentingan tulisan dalam kehidupan kita. Insyaallah ia akan kita bahas dalam satu artikel yang lain. Dalam kesempatan yang terhad ini, kita akan cuba berbincang tip-tip sederhana tentang bagaimana kita hendak memulakan penulisan untuk tatapan umum. Berikut ialah langkah-langkah yang dapat dipertimbangkan keberkesanannya :

1>        Mulakan dari yang terkecil

Langkah seribu bermula dari langkah yang pertama. Karya bermula dengan susunan perenggan, perenggan bermula dengan rangkaian ayat-ayat. Perkataan bertindak sebagai rangka ayat, perkataan itu juga tersusun dari beberapa huruf. Begitulah, ia bermula dari perkara yang terkecil. Selain itu, ia juga bermula dari sebuah idea yang kecil dan remeh-temeh. Sebelum kita melangkah jauh untuk menyampaikan sesuatu yang lebih besar dan menarik.

Kita mesti mengubah persepsi bahawa hasil karya tulisan kita harus menarik dan panjang. Tidak! Tanamkan anjakan paradigma yang baharu dalam diri kita bahawa tulisan tidak harus panjang berjela-jela. Kita harus sedar, untuk menyampaikan mesej atau sesuatu pemikiran, kita cuma memerlukan beberapa ayat dasar. Dari ayat dasar itulah kita boleh mengembangkannya menjadi suatu karya yang menarik. Jika belum mampu, cukup sampaikan sahaja kalam-kalam sederhana yang hendak kita ungkapkan.

Misalkan, kita sudah mempunyai idea untuk menghasilkan karya yang panjang dan menarik. Tetapi tiba-tiba sahaja kita kekok untuk memulakannya. Kemudian kita pun pening untuk memilih ayat yang betul, kan? Oleh itu, kita harus terbiasa untuk memulakan dari yang terkecil. Biasakanlah untuk menulis ayat-ayat pendek sederhana. Seperti status dalam FB ataupun dalam buku diari anda. Tamsilannya, menulis luahan hati ataupun peristiwa-peristiwa penting, lucu atau juga nota-nota ilmiah ketika berada di majlis ilmu. Dengan begitu, otak kita akan terangsang untuk terus menulis.

2>        Perluas sayap ilmu pengetahuan

Sudah berapa banyakkah buku pelajaran yang telah anda pelajari selama anda memasuki darjah satu sehingga saat ini? Saya rasa anda tidak akan pernah tahu jumlahnya. Terlalu banyak bukan? Ya, seluas itulah pengetahuan anda. Belum lagi jika ditambah bahan-bahan bacaan ilmiah yang lain. Tentunya sudah cukup banyak pengetahuan yang tersimpan di dalam otak serebrum anda. Dengan begitu, secara automatic anda akan terangsang untuk menyatakan apa yang anda ketahui kepada orang lain.
Ditambah lagi semua maklumat sekarang berada hanya di hujung jari kita. Mahu cari apa? Tinggal taip sahaja, si ‘Google’ akan menyediakan apa sahaja berkaitan dengan apa yang anda cari. Semudah itu!

3>        Pelbagaikan bahan bacaan

Sengaja tip ini dipisahkan dari tip yang di atas. Agar tujuannya lebih jelas, kita dapat mengkaji dan mempelajari bagaimana ayat-ayat gramatik tersusun. Bagaimana untuk menghasilkan tulisan yang menarik untuk dibaca. Serta bagaimana untuk mencari inspirasi tentang idea-idea yang baharu dan tidak menjemukan.

Kita dapat mempelbagaikan bahan bacaan kita seperti novel Islami, cerpen, puisi, syair, narrative, argument atau artikel. Susunan ayat dalam cerpen berbeza dengan artikel, puisi berbeza dengan syair, argument berbeza dengan narrative, dan begitulah seterusnya. Oleh itu, kita cuba untuk membaca karya yang pelbagai itu agar kita dapat memperkaya kosa kata bahasa penulisan kita.

4>        Sentiasa bersama pen & nota

Pen dan  nota merupakan senarai wajib bagi para pelajar mahupun siapa sahaja yang gemar menulis. Kita tidak tahu bilakah inspirasi akan turun. Bilakah ilham akan merembes ke dalam kalbu. Ia bisa datang pada bila-bila masa. Selari dengan itu, ilmu pengetahuan juga bisa datang secara tiba-tiba. Oleh itu, sediakan pen dan nota agar kita sentiasa bersedia untuk menulis jika idea tiba-tiba muncul.

Dalam pada itu, catat nota-nota penting apabila anda membaca buku-buku ilmiah. Ini memudahkan anda untuk membuat rujukan sekiranya anda hendak menulis sesuatu karya ilmiah yang memerlukan fakta sahih. Begitu juga jika anda mentadarrus al Quran, pastikan anda mencatat nombor ayat dan nama surah yang menarik perhatian anda. Ini amat membantu untuk dijadikan dalil penguat hujjah dalam tulisan anda.

5>        Pilih platform yang sesuai

Platform merupakan medium terpenting untuk menempatkan hasil tulisan kita. Pada zaman mutakhir kini, terlalu banyak platform yang tersedia untuk mencurahkan hasil tulisan kita. Kita dapat menggunakan ruang catatan dalam FB sebagai platform terbaik untuk memulakan penulisan. Update status merupakan contoh yang paling ringan. Tetapi pastikan apa yang anda taip adalah perkara yang positif. Apabila anda menulis status negative, sebenarnya anda turut mempengaruhi minda orang lain untuk berfikir negative.

Selain itu, anda juga dapat membuat laman blog sendiri. Anda tak perlu malu atau takut. Semua orang punya hak untuk menulis, selagi itu perkara benar. Apatah lagi kita sebagai generasi peneraju masa depan Islam. Anda dapat berdakwah melalui blog anda! Berikut adalah contoh-contoh blog professional yang dapat kita jadikan  panduan sama ada dari segi tata letak blog mahupun isi yang dikemukakan :


6>        Petik kata-kata tokoh dunia

Hal ini amat penting untuk membuat tulisan anda lebih menarik dan dewasa. Pastikan kata-kata tersebut bersesuaian dengan tajuk atau topic tulisan anda. Dan menyebut nama tokoh yang mengucapkan kata-kata tersebut adalah lebih baik dalam menarik perhatian pembaca. Anda dapat mencari kata-kata ini di Google.

Adalah lebih baik jika anda mengambilnya dari dunia Islam seperti sabda Rasulullah saw, para Sahabat r.a serta ilmuwan-ilmuwan Islam yang lain. Namun adakalanya kita juga harus memetik kata mutiara dari tokoh-tokoh dunia yang bukan Islam. Kerana setiap kebijaksanaan sebenarnya adalah hak milik Islam yang tercicir, oleh itu kita boleh menggunakannya.

7>        Gunakan tatabahasa yang benar dan rasmi

Ini merupakan perkara kecil yang sering diremehkan oleh penulis amateur seperti kita. Kita nampak hal itu tidaklah sangat berpengaruh terhadap pembaca. Namun sebaliknya, tulisan yang memiliki tatabahasa yang kemas akan terlihat lebih professional. Sehingga turut menarik minat pembaca. Ya, walaupun satu ayat pastikan ia ditulis dengan ejaan penuh dan betul. Kecuali jika kita hendak menulis karya bebas seperti novel, cerpen mahupun puisi.

8>        Motivasikan diri sendiri

Yakinlah, anda boleh melakukannya! Menulis tidaklah sukar, namun kita hanya perlu membiasakannya. Kita perlu memotivasikan diri sendiri. Menulis tidak dapat dipaksakan, namun ilham untuk menulis akan muncul dengan tidak diduga. Berdoalah semoga Allah swt memudahkan kita!

Adakah kau lupa? Ilmuwan-ilmuwan Islam zaman silam juga penulis-penulis yang hebat. Imam Bukhari, Imam Syafi’i, Ibnu Sina, al Kindi, al Khawarizmi dan banyak lagi. Dengan hasil tulisan merekalah kita dapat membaca dan mempelajari ilumu-ilmu Islam yang pernah mereka pelajari. Begitulah realitinya, kita menulis sekarang juga demi masa depan agama kita! Masa depan generasi penggerak agama dan bangsa.

Mereka juga telah berjaya mengabadikan sejarah Islam dan menempah sejarah hidup mereka yang gemilang. Kita? Sekaranglah masanya! Kalau tidak dimulakan dari diri sendiri untuk mengorak langkah menuju kegemilangan, siapa lagi?

9>        Sertai bengkel penulisan

Rasanya ini langkah yang paling mustahak untuk kita ambil. Kita dapat menyertai bengkel-bengkel penulisan yang biasanya digelar untuk umum di mana sahaja berada. Atau, kita cuba anjurkan sendiri bengkel penulisan melalui badan-badan organisasi sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat belia-belia kampung kita.

10>      Tanya si ‘Google’

Ini adalah langkah yang paling mudah. Jika anda masih tertanya-tanya bagaimana untuk memulakan menjadi penulis, taip saja di Google. Insyaallah anda akan menemukan jawabannya. Bingung untuk membuat laman blog? Tanya sahaja si dia!

Rasanya itu sahaja tip-tip yang dapat dipertimbangkan untuk memulakan langkah dalam dunia penulisan. Walau apapun, langkah-langkah tersebut masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan.

Apapun, ambillah perkara yang berfaedah dan buang jauh-jauh apa yang buruk. Semoga ia bermanfaat untuk kita semua. Jadikan membaca sebagai jendela ilmu pengetahuan dan menulis sebagai warisan ilmuwan Islam. Semoga tahap pengetahuan kita dapat dipertingkatkan dan bisa mengalahkan si Yahudi laknatullah alaihim.

Selamat menulis!


No comments:

Post a Comment