Powered By Blogger

Tuesday 24 January 2012

Program Jalinan Ukhuwah, Satu Anjakan Paradigma


Tarikh 28 – 29 Safar 1433 H bersamaan 22 – 23 Januari 2012 merupakan hari yang penuh bersejarah bagi para warga SMU(A) Al Ulum Padang Embun dan para bekas pelajar  (alumni) khususnya. Apa tidaknya, bekas kepimpinan pelajar Al Ulum berjaya mencatat sejarah yang tersendiri. Mereka telah sukses mengadakan program reunion yang julung-julung kalinya dianjurkan di sekolah ini secara rasmi.

Program Jalinan Ukhuwah (PJU) ini menghimpunkan bekas pelajar lelaki lepasan PMR tahun 2007 – 2011. Manakala untuk bekas pelajar perempuan insyaallah ia akan dilaksanakan pada tarikh 3 Februari nanti jika tidak ada aral melintang, sesuai dengan perancangan yang telah dibincangkan.

Program Jalinan Ukhuwah ini merupakan program perintis bagi mengadakan program-program seumpamanya yang lebih besar lagi. Ini semua berkat inisiatif Ustazah Nortamziah Pauzi juga selaku guru penasihat Badan Dakwah dan Kepimpinan Islam (BALKAN) Al Ulum bagi menyambung kembali tali ukhuwah agar tidak semakin terlerai. Oleh itu, perwakilan bekas kepimpinan pelajar telah mengadakan perbincangan ringan untuk menjayakan matlamat ini.

Salah satu matlamat mereka ialah untuk menubuhkan persatuan alumni Al Ulum. Organisasi tersebut akan bergerak dalam menjaga kesinambungan proses pentarbiyahan dan kepemimpinan pelajar Al Ulum. Sama ada melalui aktiviti formal mahupun non-formal. Atas dasar itulah program reunion dalam skala sederhana perlu dilaksanakan. Matlamatnya jelas, ia berfungsi sebagai batu loncatan untuk meraih matlamat utama, penubuhan persatuan alumni Al Ulum.

PJU ini boleh dikatakan 80% berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mencapai sebahagian matlamatnya. Tentunya, penilaian ini turut melihat pelbagai aspek utama. Antaranya ialah dari segi kos perbelanjaan. 85% dari keseluruhan wang masuk (RM430.35) ialah dikutip daripada yuran peserta seramai 37 orang. Manakala bakinya ialah daripada sponsor guru dan Pengetua. Seterusnya pada akhir program didapati bahawa setelah wang masuk ditolak dengan perbelanjaan ternyata masih berbaki RM19.51 (5.3%).

Manakala dari segi antusiasme peserta, ternyata amat membanggakan. Jangkaan awal kehadiran maksimum peserta ialah seramai 40 orang dan nyatanya yang hadir menyertai PJU ini ialah seramai 37 orang (92.5%). Majoritinya merupakan alumni lepasan PMR tahun 2009, 2010 dan 2011. Alumni 2008 seramai 5 orang sahaja sedangkan alumni dari tahun 2007 tiada kehadiran yang dicatat. Hal ini disebabkan oleh pelbagai halangan. Antaranya ialah kesukaran untuk menghubungi mereka dan mereka berada jauh di luar negeri serta sibuk dengan tugasan masing-masing.

Dari segi pencapaian objektif, PJU kali ini dilihat hanya berhasil mencapai dua daripada tiga objektif yang telah ditetapkan. Iaitu ‘menghubungkan kembali silaturahim yang terpisah’ dan ‘menjalin keakraban dan kepercayaan terhadap sesama sahabat’. Manakala bagi point ‘mengeratkan hubungan antara sesama pelajar dan juga guru-guru’ gagal dicapai kerana masing-masing guru ada urusan lain yang lebih penting sehingga tidak dapat menghadirkan diri dalam PJU.

Salah satu perkara yang amat menarik ialah apabila Mudir / Pengetua, Yang Berbahagia Ustaz Kamaruddin Ibrahim, berucap untuk merasmikan PJU pada pukul 8 malam. Beliau ternyata sangat bersyukur dan menyokong sepenuhnya program reunion seperti ini. Beliau bangga kerana berkat sokongan dari semua pihak program yang pertama kali ini berjaya dilaksanakan.

Beliau memberi laluan yang seluas-luasnya agar program serupa dapat diadakan secara lebih besar-besaran lagi. Demi menghimpunkan semula semua bekas pelajar Al Ulum, tidak mengira tahun, sama ada muslimin ataupun muslimat, biar semua bisa berkumpul dan bersilaturrahim. Ya, ini merupakan satu anjakan paradigma dalam meniti arus globalisasi persaudaraan dan kerjasama antara pihak sekolah dengan para alumni di Al Ulum.
Walaupun begitu, PJU juga masih menyimpan banyak kelemahan dan kekurangan. Pengisian program ada yang ‘terhapus’ dan batal dilaksanakan. Slot Bicara Rindu, gagal dilaksanakan kerana tiada seorang pun guru yang hadir. Sedangkan Slot Qiamullail secara berjamaah juga terpaksa dibatalkan kerana hampir keseluruhan peserta tidur lewat malam. Selain itu, ketiadaan ‘orang senior’ ternyata amat dirasai apabila peserta bersikap kurang disiplin dan tidak menghiraukan arahan dari urusetia yang rata-rata berumur sebaya. Semoga kelemahan ini dapat diambil perhatian agar ia tidak terulang untuk kedua kalinya.

Sebagai penutup kalam akhir, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga Al Ulum atas sokongan dan bantuan yang telah disumbangkan. Khususnya kepada Ustaz Kamaruddin Ibrahim yang sanggup meluangkan masa bersama para alumni walaupun hanya dalam hitungan minit. Juga kepada semua sahabat-sahabat alumni Al Ulum sekalian. Tahniah! Ini program pertama kalian, yang diadakan dan diurus secara berdikari tanpa kelibat guru pembimbing secara langsung dan dapat dilaksanakan dengan lancar. Serta jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bergerak di sebalik tabir. Tanpa kalian pastinya PJU kali ini tidak akan berjalan dengan lancar.

Harapan kami, semoga program untuk alumni dapat dipertingkatkan lagi demi mencapai matlamatnya yang mulia. Seterusnya kelangsungan proses pentarbiyahan dan kepemimpinan pelajar di sini serta silaturrahim yang dibina tidak pernah terputus dan hilang ditelan arus zaman. Wallahu a’lam bissowab.

No comments:

Post a Comment